ISU pembekalan kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan kontrak berjumlah RM9.13 bilion sememangnya satu tamparan besar buat negara.
Manakan tidak, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 8 Ogos 2021 mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 Nov 2020 mendapati tiada satu pun kapal LCS telah disiapkan.
Sedangkan, kontrak projek itu yang diberikan secara rundingan terus telah dibayar sebanyak RM6.083 bilion untuk menyiapkan lima kapal harus disiap dan diserahkan pada Ogos 2022.
Bahasa mudahnya, kita berbelanja besar untuk menambah baik sistem pertahanan negara tetapi hasilnya tidak kelihatan.
Lantaran itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) wajar untuk mengambil iktibar terhadap isu LCS itu lebih-lebih lagi apabila ingin membuat perolehan aset baharu negara.
Tidak terkecuali langkah perolehan pesawat peronda maritim (MPA) jenis ATR 72MP baru-baru ini.
Pemilihan pesawat ini sememangnya menimbulkan seribu satu persoalan kepada pemerhati industri termasuk dari luar negara.
Tatkala negara-negara luar seperti UAE, Amerika Syarikat, England dan India memilih MPA yang lebih canggih daripada ATR 72MP, Malaysia pula sebaliknya.
Malah, Perancis yang merupakan negara pengeluar pesawat ATR 72MP juga menggunakan pesawat lain yang lebih canggih seperti De Havilland Dash-8s Q-400.
Perkara itu menurut seorang ketua jurutera yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam penyelenggaraan pesawat pertahanan ini, adalah kerana faktor teknologi.
Menurut beliau, pemilihan pesawat peronda MPA ini sewajarnya dilakukan secara perbandingan teknologi, daya tahan tinggi dan kelajuan.
Jelas beliau, berdasarkan pilihan pesawat MPA yang ada di pasaran ketika ini, De Havilland Dash-8s Q-400 adalah pilihan yang lebih baik berbanding ATR 72MP.
“Kelebihan utama pesawat Q-400 ini adalah ia mempunyai Auxiliary Power Unit (APU) yang membolehkan pesawat beroperasi secara autonomi tanpa bergantung pada peralatan sokongan di darat.
“Pada 2019 ketika saya pergi ke Toronto, negara India ketika itu membeli 25 pesawat Q-400 sedangkan mereka sudah mempunyai kira-kira 28 pesawat yang sama.
“Hal ini kerana apabila mereka sendiri menggunakan pesawat tersebut (Q-400), mereka sudah tahu pesawat mana yang terbaik ketika ini,” katanya.
Dalam pada itu, sumber industri berkata, kerajaan perlu berhati-hati dan melakukan kajian sebelum bersetuju dengan sebarang tawaran perolehan aset baharu.
Misalnya, jelas beliau, ada syarikat penyedia pesawat antarabangsa yang mempunyai trek rekod buruk telah dilarang untuk bersaing dalam tender angkatan tentera di India.
Beliau berkata, larangan itu dilakukan selepas siasatan kerajaan India bermula dari 2013 berhubung dakwaan rasuah melibatkan kontrak helikopter mewah.
“Jika syarikat penyedia itu mempunyai rekod yang buruk, mengapa mesti kita berurusan dengan mereka? Jangan sampai rekod pesawat lambat siap sehingga lebih 12 tahun berlaku di negara kita.
“Perkara ini perlu dipandang serius oleh kerajaan. Pembelian aset baharu ini adalah untuk menambah baik sistem pertahanan udara negara.
“Setiap sen yang dikeluarkan adalah duit rakyat yang membayar cukai. Jadi, sewajarnya kita memberi yang terbaik untuk rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai ATR 72MP, sumber industri memaklumkan bahawa pesawat tersebut tidak mempunyai pemproses akustik.
Jelas beliau, mengintegrasikan pemproses akustik dan subsistem berkaitan ke dalam sistem pengurusan misi yang menggabungkan algoritma gabungan data adalah amat sukar dan mahal.
Katanya, perbezaan harga antara Pesawat Pengawasan Maritim (MSA) dan Peperangan Anti-Kapal Selam – Pesawat Peronda Maritim (ASW-MPA) adalah sangat ketara.
“Atas sebab ini, adalah sesuatu yang luar biasa bagi syarikat yang tidak mempunyai pengalaman akustik untuk mempraktikkan strategi jualan ‘umpan dan tukar’ dengan pengguna yang tidak canggih,” katanya.
Sumber industri menambah, Itali juga ketika ini mahu menjual semula tiga buah pesawat ATR 42MP milik mereka dengan harga RM80 juta sahaja.
Lantaran itu, menurut beliau, adalah sesuatu yang menghairankan sekiranya kita membeli pesawat yang tidak mempunyai pemproses akustik dengan harga yang lebih mahal daripada harga yang dijual oleh Itali.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

