DIHENYAK di bahagian mulut sehingga bengkak dan pecah merupakan antara memori hitam Okta Ningrum sepanjang bergelar pembantu rumah selama lebih sedekad di negara ini.
Okta, 32, sebak dan sedih dengan perlakuan majikannya itu kerana ibu bapa sendiri pun tidak pernah menghinggapkan tangan ke muka anak gadis tersebut sepanjang di bawah penjagaan mereka.
Apakan daya, Okta hanya mampu memendam rasa, berdiam diri dan berdoa kepada tuhan supaya diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Ketika ditemui UtusanTV baru-baru ini, Okta berkata, dia datang ke Malaysia seawal usia 16 tahun dengan harapan besar mahu membantu keluarganya yang hidup serba kekurangan di Lampung, Indonesia.
Namun begitu, katanya, apa yang berlaku selepas itu berada di luar imaginasi dan tanggapan terhadap Malaysia selama ini.
“Sedikit kesalahan diperbesarkan, dia pukul mulut sampai bengkak, mulut sampai pecah, keluar darah, saya hanya mampu tahan, semakin lama kalau cakap semakin hati sakit.
“Kadang-kadang teringat keluarga, mahu pulang nak tahu keadaan keluarga, selama kerja di situ hanya pasrah saja, mahu cuba lari tak mungkin sebab rumah dari atas sampai bawah terkunci.
“Kita tak bisa balas balik, (majikan kata) saya tauke saya berhak buat sesuka hati sama awak…dihina dimaki pasti setiap orang merasa sakit, kecewa,” katanya.
Baca artikel lain: Nasib TKI: Tekad Anwar lembaran baharu, jangan jadi janji kedai kopi
Okta mendakwa, dia juga tidak dibenar menghubungi keluarga untuk bertanya khabar sehingga wujud khabar angin bahawa dirinya sudah meninggal dunia. Tidak pernah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan – semuanya perlu dihadam sendiri.
Okta dijanjikan gaji RM450 sebulan namun malangnya sepanjang 16 tahun, dia hanya dibayar RM5,000 sahaja oleh majikan ketika diberi kebenaran untuk pulang ke tanah air di tahun akhir perkhidmatannya sebelum melarikan diri.
“Dia bilang saya akan transfer duit awak, duit itu akan ditransfer ke kampung, tetapi tidak ada.

“Kita berusaha sebaik mungkin tapi bagi dia tak baik, bagi pandangan dia (majikan) semua tak baik, saya rasa sedih, saya kalau keluar rumah seketika buang sampah, cakap sama jiran pun tak boleh,” katanya lagi.
Ketika ini Okta berada di bawah penjagaan Kedutaan Indonesia di Malaysia dalam usaha untuk mendapatkan baki gaji yang masih gagal dilunaskan oleh majikan.
Wajarkah usaha membela nasib Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang sudah memberikan segala-galanya digagalkan? Semoga ada sinar untuk Okta di masa hadapan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

