SEBANYAK 30 kes penipuan melibatkan pengambilan pembantu rumah tidak berlesen dilaporkan bagi tempoh Januari 2023 hingga Oktober lalu dengan kerugian keseluruhan berjumlah RM269,772.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 11 kes dicatatkan pada 2023 manakala pada 2024 sebanyak empat kes direkodkan dan peningkatan 15 kes tahun ini.
“Berlaku peningkatan kes pada tahun ini, menandakan kewujudan semula sindiket yang agresif mengekploitasi pengguna melalui platform digital, iklan palsu dan tawaran pengambilan pembantu rumah palsu dalam talian.
“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sentiasa komited untuk membanteras penipuan berkaitan pengambilan pembantu rumah, melindungi mangsa, memastikan majikan tidak dieksploitasi dan menjamin bahawa hanya agensi berlesen, telus dan sah sahaja beroperasi di Malaysia,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (PN-Paya Besar) mengenai jumlah kes membabitkan agensi pengambilan pembantu rumah tidak berlesen atau ‘maid-scammer’ termasuk dalam talian yang direkodkan dalam tiga tahun kebelakangan ini.
Abdul Rahman berkata, berdasarkan Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JTKSM), hanya Agensi Pekerjaan Swasta (APS) berlesen yang dibenarkan menjalankan aktiviti merekrut termasuk pengambilan dan penempatan pekerja termasuk pembantu rumah asing.
Sehubungan itu katanya, mana-mana ejen atau individu yang melakukan aktiviti merekrut tanpa lesen merupakan kesalahan di bawah Seksyen 7(2) Akta
246 dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Katanya, berdasarkan rekod JTKSM, mulai 2023 sehingga 2025, sebanyak 13 kes pendakwaan telah dikenakan ke atas APS atas pelbagai kesalahan, antaranya kesalahan di bawah Seksyen 7 iaitu menjalankan aktiviti merekrut tanpa lesen; Seksyen 9 iaitu gagal mematuhi syarat lesen dan Seksyen 13D iaitu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri semasa menjalankan aktiviti merekrut.
“Jumlah keseluruhan denda yang telah diputuskan oleh mahkamah bagi kesalahan-kesalahan tersebut sebanyak RM205,000,” katanya.

