HARAPAN Puteri Sarah Liyana untuk dilepaskan pada hari ini tidak kesampaian selepas suaminya iaitu pengarah sensasi, Syamsul Yusof tidak melafazkan talak terhadapnya.
Justeru, Puteri Sarah terpaksa mengemukan bukti baharu kepada mahkamah mendakwa dirinya pernah dipukul Syamsul.
“Saya tak mahu buka cerita mengenai kejadian itu. Akan tetapi Syamsul tidak mahu melepaskan saya,” katanya kepada URTV.
Menurut Puteri Sarah, 38, dia bagaimanapun tidak membuat sebarang laporan polis selepas kejadian tersebut kerana ketika itu masih lagi wujud rasa cinta terhadap suaminya.
Sarah turut mendakwa, ibu mentuanya iaitu Datin Patimah Ismail merupakan individu yang menyelamatkannya dengan membawa keluar dari rumah.
“Masa itu tak buat (laporan polis( sebab sayang… bila orang kata saya buka aib ketika itu, saya tak nak buat apa-apa tindakan atau buat laporan polis. Sebab saya tak mahu buka aib, malah tiada siapa yang tahu mengenai perkara itu.
“Yang selamatkan saya ketika itu ialah ibu mentua saya. Dia yang keluarkan saya dari rumah pada tiga tahun lalu. Malah Syamsul pun tahu kenapa (keluar rumah),” katanya kepada URTV.
Puteri Sarah ditemui ketika menghadiri sebutan pertama kes perceraian yang difailkan terhadap suaminya di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Sarah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, insiden dipukul itu merupakan salah satu fakta anak guamnya keluar dari rumah.
“Itu (dipukul) antara fakta mengapa Sarah membuat keputusan keluar rumah. Kami kemukakan fakta ini selepas Syamsul menuduh anak guam saya bertindak keluar dari rumah (nusyuz).
“Jadi pihak kami perlu memberikan penerangan kepada mahkamah apa yang sebenarnya berlaku dan selepas itu beliau (Sarah) kembali ke rumah atas sebab jasa baik pihak keluar mentua.
“Jadi, Syamsul memberi andaian dan gambaran bahawa anak guam saya yang keluar ke rumah tanpa izin. Itu tidak betul sebab anak guam saya ada asas,” ujarnya.
Terdahulu, Puteri Sarah dan Syamsul diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
Pada prosiding itu, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin, 38, diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, peguam syarie Roshdan Sujak.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami dan isteri menurut hukum syarak.
Permohonan cerai tersebut difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Sementara itu, Syamsul hanya menggelengkan kepala ketika ditanya mengenai dakwaan Puteri Sarah pernah dipukul olehnya.
Malah, Syamsul juga bertindak enggan memberikan sebarang kenyataan selepas keluar dari dewan mahkamah.
Konflik rumah tangga pasangan itu mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi Syamsul tidak pernah membuka mulut mengenainya.
Bagaimanapun pada Januari lalu, Syamsul akhirnya mengaku sudah bernikah dengan orang ketiga yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangganya bersama Sarah iaitu Ira Kazar.
Susulan pendedahan tersebut, topik mengenai kemelut rumah tangga Sarah dan Syamsul serta kehadiran Ira Kazar menjadi hangat dalam kalangan netizen.
Untuk info, Sarah dan Syamsul telah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

