LUMUT merupakan tumbuhan kecil dan lembut, biasanya tumbuh bersama dalam rumpun atau hamparan di tempat lembap atau teduh. Selalunya kita akan membersihkan kawasan tempat tinggal supaya tidak berlumut. Senang cakap, lumut bukan sesuatu yang menggembirakan kita. Tetapi, ia agak berbeza dengan orang Jepun.
Masyarakat Jepun yang dikenali dengan citarasa eksentrik amat menghargai lumut dan tumbuhan ini menjadi antara obsesi mereka sehingga ada yang menubuhkan persatuan khas untuk peminat lumut ini.
Persatuan Lumut Utara Yatsugatake salah satu daripadanya yang bergerak aktih. Lazimnya bermua dari Januari hingga Oktober iaitu sebelum musim sejuk, ratusan peserta akan menyertai pengembaraan berjalan kaki hanya untuk melihat sendiri habitat lumut dengan lebih dekat.
Saat itu, bermacam-macam gelagat dapat dilihat. Ada yang membongkok, duduk bersimpuh, mencangkung dan mendongak ke atas. Masing-masing begitu khusyuk mengamati tumbuhan kecil itu menerusi kaca pembesar.
Bagi mereka, menjejaki lumut begitu sangat mengasyikkan. Ini kerana, apabila merenung tumbuhan hijau itu secara dekat menggunakan kanta pembesar, terasa seolah-olah berada di dunia lain yang indah dan memukau.

Mereka bukan sekadar tergila-gilakan lumut hanya kerana bentuk dan warnanya yang cantik, tetapi juga disebabkan ia mudah dijumpai di mana-mana pun di sekeliling kita.
Di hutan Yatsugatake yang terbentang luas di sepanjang utara banjaran gunung Yatsugatake dan dikelilingi tasik Shirakomanoike, ia menjadi lokasi popular bagi penggemar tumbuhan mikro.
Berdasarkan kiraan, Jepun memiliki kekayaan lebih 2,500 daripada 12,000 spesies lumut di seluruh dunia. Iklim yang lembap dikatakan antara faktor utama mewujudkan keadaan yang sempurna bagi tumbuhan itu berkembang biak.
Masanobu Higuchi, pakar briologi terkenal di Jepun berkata, di sekitar banjaran gunung Yatsugatake sahaja terdapat lebih 500 jenis lumut hidup dan membiak. Jika cuaca baik, pelbagai jenis lumut seperti lumut hati, lumut tanduk dan lumut kerak dengan ketebalan yang luar biasa akan dapat dilihat.

Difahamkan, minat orang Jepun terhadap tumbuhan yang satu ini mulai bercambah seawal tahun 2011. Gelombang itu tercetus selepas Hisako Fujii, seorang penulis buku, ‘Mosses, My Dear Friends’, berjaya menjual lebih daripada 40,000 buah salinan karyanya kepada orang ramai. Sejak itu, sebahagian besar warga di sana terutama wanita muda menyatakan kecintaan mereka terhadap lumut sehingga menggelar diri mereka sebagai ‘gadis lumut’.
Tidak hanya itu. Menurut The Wall Street Journal, obsesi orang Jepun terhadap lumut terbawa-bawa sehingga kepada makanan, minuman dan perhiasan diri seperti cincin. Malah, tumbuhan yang dahulunya dianggap kotor dan menjijikkan itu semakin mendapat tempat dalam dekorasi taman serta hiasan rumah di Jepun. Pendek kata, ia boleh dilihat di mana-mana sahaja, sama seperti pokok bonsai.
Seorang pereka taman, Chiso Shigemori berkata bahawa taman-taman di Jepun sangat menitikberatkan keindahan semula jadi. Lantas, lumut antara tumbuhan terbaik yang disifatkan boleh mewujudkan unsur-unsur alami.
Sebahagian besar taman di rumah-rumah ibadat di Jepun diliputi dengan lumut atau dalam bahasa tempatan disebut sebagai ‘sugi-goke’. Batang kayu yang menyerupai pokok kecil dan berlumut paling sering digunakan oleh pereka taman Jepun terutama dalam menghias laman rumah atau tempat-tempat awam.
Ini bertepatan dengan budaya orang Jepun. Sejak dahulu lagi, masyarakat di sana lebih suka hidup berdampingan dengan alam semula jadi. Tambah pula, mereka sangat menghargai usia dan sejarah. Oleh demikian, warga di sana berusaha untuk mengekalkan habitat lumut kerana hidupan ini mengambil masa bertahun-tahun untuk membiak.
Walaupun lumut dianggap satu keterujaan yang menyeronokkan dan memiliki nilai estetika bagi sesetengah orang Jepun, sebahagian yang lain pula memanfaatkannya dengan cara berbeza.
Oichi Kiyomura salah seorang warga emas yang menjadikan obsesi itu sebagai peluang pekerjaan. Setiap hari, dia akan merendah hutan belukar bagi mencari lumut untuk dijual kepada pereka taman tradisional, pekebun bonsai dan penggemar terarium. Malah, dia digelar ‘The Moss King’ kerana kejayaannya meraih pendapatan lebih daripada 30 juta yen setahun hanya dengan mencari lumut.


___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

