DUA pemancing berdepan detik cemas selepas bot yang dinaiki terbalik akibat dipukul ombak dalam kejadian kira-kira 20 batu nautika dari jeti Kuala Terengganu, pagi kelmarin.
Menerusi sebuah rakaman video, dua pemancing tersebut berjaya diselamatkan dengan bantuan nelayan yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
Bercerita kepada UtusanTV, Abdul Halim Md Noor, 33, berkata, dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, dia bersama seorang rakan yang dikenali sebagai Zul melabuhkan sauh di lokasi kejadian untuk memancing ikan.
Beliau berkata, kira-kira 10 minit kemudian, datang sebuah bot sepanjang lima meter melabuhkan sauh kira-kira 50 meter dari lokasinya.
“Ketika mereka labuhkan sauh, secara tiba-tiba arus air menjadi deras dan gelombang ombak besar berlaku.
“Kejadian tersebut menyebabkan sauh mereka tersekat pada batu.
“Saya lihat mereka ikhtiar untuk tarik tali sauh itu kembali. Namun, tiba-tiba bot mereka senget ke kanan lalu gelombang ombak besar datang dan menyebabkan bot terbalik ke bawah dengan pantas,” katanya.

Baca : Nelayan selamat terapung 7 jam di lautan selepas bot terbalik
Jelas Halim, dia yang melihat situasi genting itu terus membuang tali sauh botnya dan segera membantu menyelamatkan nelayan tersebut.
“Ketika itu air sangat deras dan saya nampak mereka berpaut pada bot.
“Saya terus baling jaket keselamatan dan pelampung ke arah mereka sebelum berjaya bawa naik ke atas bot saya,” ujarnya.
Ceritanya lagi, dua pemancing yang dikenali sebagai Din dan Naim masing-masing berusia lingkungan 30-an itu kelihatan penat selepas bertarung nyawa menyelamatkan diri.
Katanya, dia membuat keputusan untuk membantu membawa balik bot mangsa ke jeti.
“Saya suruh mereka ikat tali pada bahagian bot dan tarik dengan menggunakan bot saya.
“Alhamdulillah, bot mereka berjaya berpusing kepada kedudukan asal.
“Saya bagi mereka makanan, minuman dan berehat sementara dalam perjalanan pulang ke jeti Kuala Terenganu yang terletak kira-kira dua jam dari tempat kejadian,” katanya.
Cerita Halim lagi, nelayan yang menaiki bot kecil selalunya tidak akan memancing pada peringkat aras laut tersebut kerana dikhuatiri akan mendatangkan bahaya.
“Saya dengar dari rakan-rakan mangsa, mereka memang suka main (memancing) jauh-jauh walaupun bot kecil.
“Jika kejadian tersebut berlaku dan saya tiada di lokasi kejadian, saya tidak tahu apa akan terjadi pada nelayan tersebut kerana air tengah pasang dan ombak sangat besar,” ujarnya.
Menurut Halim, kejadian tersebut adalah satu pengalaman baru buat dirinya selain dapat mempraktikkan ilmu bagi menyelamatkan orang ketika di laut.
“Apa yang penting ketika berada di situasi tersebut adalah untuk kekal tenang dan jangan panik,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

