Masalah bau mulut di bulan Ramadan, ada kalanya mengganggu kehidupan kita. Kita rasa rendah diri, tidak suka bercakap dengan orang dan lebih suka menyendiri gara-gara mulut berbau. Jangan risau, SAJI akan membantu anda dengan 10 tip untuk menghilangkan bau mulut ketika berpuasa.

GOSOK GIGI DAN LIDAH
Jangan pernah ketinggalan untuk menggosok gigi setiap kali bersahur dan berbuka. Usah pandang remeh..! Pastikan anda memberus seluruh celah gigi, jika perlu gunakan benang flos untuk mencapai ruang yang sempit. Jangan lupa untuk memberus lidah sekali ya!

TEH HIJAU
Cuba minum teh hijau tanpa gula ketika bersahur dan berbuka puasa. Teh hijau mengandungi zat polyphenol yang berfungsi membersihkan bakteria dalam mulut dan saluran pernafasan.

KURANGKAN MAKANAN MANIS
Makanan yang bergula ini akan lebih cepat melekat pada gigi dan sukar untuk dibersihkan. Akhirnya sisa makanan itu membuatkan gigi anda cepat rosak dan menyebabkan bau mulut.

AIR MINERAL
Banyakkan minum air putih atau air mineral ketika berbuka dan bersahur. Mulut kita akan kering sepanjang hari, minum air dengan banyak dapat menjaga keseimbangan air dalam tubuh.

SUSU DAN KEJU
Pengambilan keju yang rendah karbohidrat dan tinggi kalsium serta mengandungi fostat dapat memperkuatkan gigi serta meningkatkan pengeluaran air liur dan mengurangkan pertumbuhan karies gigi. Susu pula dipercayai dapat mengatasi masalah bau mulut.

JAGA PEMAKANAN
Elakkan mengambil bawang putih atau kopi ketika bersahur. Makanlah makanan yang sihat dan bertekstur keras ketika sahur seperti cornflakes, kekacang dan buah epal kerana ia dapat membantu membersihkan bahagian lidah paling belakang.

HINDARKAN MAKANAN YANG BERBAU
Sebaiknya elakkan mengambil makanan yang berbau kuat seperti durian, petai, jering, kerdas dan sebagainya. Ia akan mengganggu nafas anda pada keesokan harinya saat anda berpuasa.

UBAT KUMUR
Disarankan menggunakan ubat kumur setelak menggosok gigi. Ia akan menjadikan nafas kita berbau lebih segar sepanjang hari.

BERSENAM
Melakukan senaman mudah secara teratur sebelum atau selepas berbuka puasa juga bermanfaat bukan hanya pada badan, tapi pada mulut juga. Senaman dapat mengeluarkan toksin dalam badan yang juga salah satu penyebab bau mulut.

JUMPA DOKTOR GIGI
Mulut berbau itu saat kita berpuasa pasti akan dialami oleh setiap orang. Tapi ada caranya untuk kurangkan bau itu agar ia tidak mengganggu orang lain. Tapi jika segala tip di atas telah dilakukan, tetapi keadaan masih sama, sudah tiba masanya untuk anda bertemu doktor gigi. Mungkin gigi anda perlu diservis..!