PENIAGA diingatkan supaya tidak menjual sesuatu makanan yang tidak berkualiti termasuk hangit serta basi kerana hukumnya adalah haram.
Perkara tersebut ditegaskan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor kepada peniaga terutama peniaga bazar Ramadan seperti dilapor BH Online.
Ia ekoran perkongsian orang ramai dalam media sosial yang mendakwa makanan dibeli di beberapa bazar Ramadan hangit, basi serta tidak sepadan dengan harga.
Menurut Wan Salim, peniaga yang menjual makanan sedemikian terpalit dalam penipuan transaksi jual beli.
Malah, kata beliau, ia juga termasuk dalam pengertian memakan harta orang secara salah.
“Terdapat juga hadis yang bermaksud sesiapa yang menipu barang-barang jualannya maka dia bukan umat kami.
“Jadi saya menyeru peniaga supaya bertimbang rasa terhadap pembeli dan janganlah mengambil kesempatan daripada keperluan orang ramai terutama makanan bagi dimakan ketika berbuka puasa.
Baca artikel berkaitan: DBKL ambil sampel makanan di Bazar Ramadan, jamin keselamatan warga kota
“Selain itu, bulan Ramadan adalah peluang keemasan bagi peniaga mencari pahala daripada Allah SWT,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, Islam merupakan agama rahmat yang menjurus kepada kasih sayang dan menyeru persaudaraan sesama umat Islam serta sesama manusia.
Katanya, Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Bukhari, Rasulullah bersabda yang bermaksud ‘Allah SWT merahmati seseorang yang bertolak ansur dalam jual beli’.
“Sikap sedemikian juga termasuk dalam pengertian ‘ihsan’ iaitu menjadi antara tonggak Negara Madani yang dijadikan slogan terbaru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi.
Terdahulu sejak 1 Ramadan, tular di media sosial mengenai perkongsian orang awam yang membeli makanan hangit, basi dan tidak setimpal dengan harga.
Antaranya ialah nasi ayam berempah pada harga RM15, roti john dan martabak hangit malah perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi warganet.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

