Di antara perkara yang Rasulullah s.a.w. lakukan secara konsisten dalam Bulan Ramadan adalah membaca al-Quran al-Karim. Di dalam sebuah hadis, Ibnu Abbas r.a. berkata,
“Nabi s.a.w. adalah orang yang paling baik dalam kebajikan. Dia menjadi paling baik di bulan Ramadan apabila Jibril datang berjumpa dengannya. Jibril a.s. sering berjumpa Baginda setiap malam dalam bulan Ramadan sehingga akhir bulan agar Nabi s.a.w. memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya. Apabila Jibril a.s. berjumpa Baginda, Baginda akan menjadi lebih baik daripada angin yang lembut.” (HR al-Imam al-Bukhar).
Hadis ini jelas menunjukkan akhlak mulia hendaklah ditingkatkan dalam bulan Ramadan dan diwujudkan sepanjang tahun. Akhlak yang mulia ialah akhlak yang berlandaskan al-Quran. Ingatlah bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan. Firman Allah dalam surah al-Baqarah: 185,
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…
Ayat ini mendidik kita agar membaca al-Quran dan menelitinya untuk mencari hidayah dan penjelasan yang membezakan antara kebenaran dan kesalahan. Jadi wajarlah dipertingkatkan bacaan al-Quran dan diperbanyakkan mendengar bacaan al-Quran.
Di antara petunjuk Rasulullah s.a.w. ialah menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Siapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, dia akan mendapat seperti pahalanya tanpa dikurangkan pahala orang yang berpuasa itu walaupun sedikit. (HR al-Imam al-Tirmizi)
Rasulullah s.a.w. juga menjelaskan bahawa melaksanakan umrah di Bulan Ramadan, pahalanya ibarat membuat haji. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Sekiranya datang Ramadhan hendaklah kamu berumrah kerana sesungguhnya umrah dalam Ramadhan menyaingi haji”(HR al-Imam Muslim).
Satu lagi amalan yang digalakkan semasa berpuasa adalah berdoa. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Tiga doa yang mustajab tanpa syak adalah doa orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang mengembara” (HR al-‘Uqaili, al-Baihaqi dan Ibnu ‘Asakir)
Segala amalan maksiat pula hendaklah ditinggalkan. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Siapa yang tidak meninggalkan kata-kata keji dan amalam keji, Allah tidak mempedulikan usahanya meninggalkan makan dan minumannya” (HR al-Imam al-Bukhari).
Begitulah orang yang berpuasa diajar untuk mempergiatkan amalan-amalan salih dan menghindari amalan-amalan maksiat sehingga tenggelamnya matahari. Di waktu ini, dia wajar berbuka dengan segera. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana mereka segera berbuka puasa” (HR al-Imam al-Bukhari)
Rasulullah juga bersabda,
“Sekiranya malam datang dari sini, siang pergi dari sini dan terbenamnya matahari maka berbukalah orang berpuasa”(HR al-Imam al-Bukhari)
Semasa berbuka, mulakan dengan rutob (kurma muda), kalau tiada maka dengan tamar (kurma tua) dan kalau tiada juga maka dengan air. Anas bin Malik r.a. telah berkata,
“Kebiasaannya dahulu Rasulullah s.a.w. berbuka dengan kurma muda sebelum solat. Jika tiada kurma muda maka dengan kurma tua. Jika tiada maka dengan beberapa teguk air” (HR al-Imam Abu Daud)
Selepas berbuka puasa, bacalah pula doa ini,
“Zahabazzoma’u, wabtallatil’uruqu, wathabatalajru, insya Allah.
(Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat. Dan telah tetap pahala dengan izin Allah)”(HR al-Imam Abu Daud)
Ikutilah tunjuk ajar Rasulullah s.a.w. ini sepanjang Bulan Ramadan. Sehinggalah apabila sampainya sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, tingkatkan kegigihan beribadat, pastikan malam al-Qadr tidak terlepas. ‘Aisyah r.a. berkata,
“Kebiasaannya dahulu Nabi s.a.w. apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadhan, Baginda akan mengikat kainnya dan bersungguh-sungguh, menghidupkan malamnya dan mengejutkan keluarganya”(HR al-Imam al-Bukhari).
Sekiranya berkesempatan beriktikaflah di salah satu dari 3 masjid iaitu al-Masjid al-Haram, al-Masjid al-Nabawi dan al-Masjid al-Aqsa (menurut satu pendapat). Pendapat kedua pula ialah Masjid Jami‘.
Bagi mereka yang mengambil pendapat pertama, masih boleh juga turut serta beribadat dengan mereka yang beriktikaf di masjid-masjid Jami‘, juga untuk mengambil keberkatan doa para malaikat, seperti dalam hadith berikut,
“Para malaikat berdoa ke atas seseorang dari kamu selagimana dia berada di dalam tempat solatnya selagimana dia tidak batal wuduk ‘Ya Allah ampunkanlah dia, Ya Allah rahmatilah dia.’ Seorang daripada kamu dikira berada dalam solatnya selagimana solat itu menghalangnya, tiada yang melarangnya balik kepada keluarganya kecuali solat” (HR al-Imam al-Bukhari)
Demikianlah ringkasan petunjuk sunnah Rasulullah s.a.w. di dalam berpuasa. Semoga dapatlah kita berusaha dengan gigih agar menepati tunjuk ajar Rasulullah s.a.w. junjungan kita, dalam mengharungi hari-hari dalam bulan-bulan ini.
Kita juga memohon agar Allah memberkati niat dan amalan kita di muka bumi ini dan mengizinkan kita memasuki syurga Nya di akhirat nanti melalui pintu al-Rayyan. Amin ya Rabbal-‘alamin.
_____________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’