SEBANYAK 14 premis makanan di bazar Ramadan telah diarahkan tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 menerusi Op Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2023 dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM).
KKM dalam kenyataan memaklumkan, operasi tersebut dijalankan di 640 lokaliti bazar Ramadan seluruh negara bagi tempoh 23 Mac hingga 16 April lalu dengan 51,849 premis telah diperiksa.
Menurut KKM, operasi yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri seluruh negara itu melibatkan pemeriksaan premis dan pensampelan makanan.
Katanya, ia bagi memastikan makanan yang disediakan dan dijual adalah selamat serta mematuhi kehendak Akta Makanan 1983; Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Bagi pengendali makanan pula, seramai 104,755 pengendali makanan telah diperiksa dengan pecahan 93 peratus mempunyai suntikan anti-tifoid dan 84 peratus atau 87,832 telah menghadiri latihan pengendali makanan.
“Selain itu, sebanyak 2,188 notis di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 dengan nilai kompaun dianggarkan berjumlah RM197,600 telah dikeluarkan kepada pemilik premis, wakil premis dan pengendali makanan atas pelbagai jenis kesalahan seperti tidak menjalani latihan pengendali makanan, tiada suntikan anti-tifoid dan pakaian pengendali makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, KKM memaklumkan telah menerima 17 aduan makanan di bazar Ramadan 2023 seluruh negara setakat Selasa lalu.
Jelas KKM, sebanyak 15 aduan telah selesai disiasat manakala dua lagi masih dalam proses siasatan dengan tindakan pembetulan serta nasihat telah diberikan kepada pengusaha premis terlibat.
Baca artikel berkaitan: Anwar santuni rakyat di bazar Ramadan Gong Badak
Bagi kejadian keracunan makanan pula, KKM memaklumkan telah menerima dua laporan kejadian tersebut berlaku di bazar Ramadan.
“Kedua-dua kejadian tersebut disebabkan makanan yang telah dibeli iaitu di bazar Ramadan Asia City, Kota Kinabalu dan Bazar Ramadan UiTM Segamat, Johor.
“Kesemua kes telah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berdekatan dengan pendidikan kesihatan serta edaran risalah telah diberikan kepada pengurusan bazar, kes yang terlibat dan kontak yang terdedah.
“Empat notis kompaun di atas kesalahan tidak mematuhi pakaian pengendali makanan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan kepada peniaga di Bazar Ramadan UiTM Segamat.
“Tapak Bazar Ramadan UiTM Segamat juga telah diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

