TINGGAL beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri dan warga kota sudah mula meninggalkan Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung halaman.
Namun, berlainan pula bagi penyanyi Naufal Azrin yang hanya akan menyambut Lebaran bersama keluarga di ibu kota.
“Saya hanya akan beraya di Kuala Lumpur sahaja. Semua saudara-mara akan datang ke rumah saya untuk berkumpul dan beraya bersama.
“Baju raya semua dah selesai. Saya ada dua pasang baju raya dan saya belikan juga baju untuk adik saya.
“Bajet raya tahun ni saya boleh beri duit raya lebih kepada keluarga dan saya ada juga beli microwave untuk mak saya. Selain itu, saya ada juga membeli beberapa keperluan lain untuk rumah,” katanya kepada URTV.
Penyanyi yang dulunya popular dengan selawat Ya Badrotim bersama kumpulan nasyid Zayne ini sempat berkongsi cerita pengalaman beraya di bandar berbanding di kampung.
“Sebenarnya saya seronok tak melalui kesesakan jalan raya tapi nak buat macam mana, saya dah tak ada kampung.
“Jadi, dari kecil memang saya akan beraya di Kuala Lumpur sahaja. Suasana hambar tapi saya ‘enjoy the moment’ walaupun nenek dan atuk sebelah mak saya dah lama meninggal sebab itulah momen di kampung itu tak ada.
“Kawasan rumah saya memang sunyi masa hari raya. Jiran saya kebanyakannya memang tak ada di rumah.
“Saya pernah rasa suasana kampung tapi saya ikut kawan saya balik kampung seperti di Kedah dan Kelantan. Saya rasa momen itu sekejap sahaja sebab hanya duduk di sana selama dua ke tiga hari,” jelasnya.

