ANGKA korban nahas jalan raya membabitkan Perodua Myvi yang bertembung bas ekspres Jumaat lalu di Kilometer 21.8 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus meningkat kepada tiga orang.
Ini selepas pemandu bas ekspres berkenaan, Nik Nordin Jusof, 51, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada pukul 4.02 pagi ini.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail, mangsa yang berasal dari Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan patah kaki kiri sebelum ini menerima rawatan di hospital berkenaan.
Selain itu katanya, seorang lagi mangsa iaitu penumpang Perodua Myvi masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama manakala mangsa yang lain dirawat sebagai pesakit luar.
“Mayat pemandu bas kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri maut manakala anak mereka cedera selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah bas.
Mangsa dikenali Che Ku Yusof Ali Che Ku, 52 dan isteri Siti Faridaf Ahmad, 46 maut ditempat kejadian akibat parah pada anggota badan dalam insiden kira-kira pukul 1.25 tengah hari.
Mangsa dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Felda Belara manakala bas ekpres yang membawa 27 orang penumpang pula dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuantan, Pahang.

