PERBICARAAN pengesahan lafaz cerai pelakon Hafidz Roshdi dan isterinya, Nurul Shuhada ditetapkan pada 20 Jun depan.
Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan terdapat isu berhubung lafaz cerai luar mahkamah yang didakwa berlaku sebanyak dua kali.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Siti Rahmah Hussin itu, Akberdin berkata pihaknya tiada masalah untuk meneruskan prosiding pengesahan lafaz cerai berkenaan, namun memerlukan persediaan agar pihak-pihak menyediakan pernyataan saksi masing-masing.
“Justeru pihak kami memohon satu tarikh singkat bagi prosiding seterusnya perbicaraan pengesahan lafaz cerai tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, permohonan itu dibantah oleh peguam yang mewakili Shuhada, Nurfarhana Abd. Manaf memandangkan anak guamnya sudah bersedia untuk memberikan keterangan lisan bagi prosiding pengesahan lafaz cerai berkenaan.
“Pihak kami akur sekiranya mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi perbicaraan,” katanya.
Pada prosiding sebelum ini, Akberdin memberitahu bahawa Shuhada mendakwa suaminya pernah melafazkan cerai lebih awal menerusi aplikasi WhatsApp pada Januari lalu.
Peguam syarie itu mengakui terkejut selepas melihat tuntutan balas kononnya anak guamnya itu pernah melafazkan cerai pada 22 Januari sedangkan dalam permohonan cerai lafaz itu dibuat pada 22 Februari.
Pada 27 Februari lalu, Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
Bagaimanapun, lafaz cerai yang sepatutnya berlaku pada 21 Mac lalu gagal dilaksanakan selepas mahkamah mendapati ada isu baharu berhubung isu lafaz cerai pasangan tersebut.
Hafidz dan Nurul Shuhada, 29, mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

