Bakal melangsungkan pernikahan 23 Jun depan, Shuib sudah jelas akan percaturan dalam keluarga yang akan dibina. Ulas Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, dia mahu bakal isteri, Watie Hanifiah, 35, menjadi suri rumah sepenuh masa.
Malah pelakon dan pelawak ini turut menyatakan sebab mengapa selebriti bukan pilihan utama untuk dijadikan calon isteri.
“Saya mahu dia (Watie) fokus kepada keluarga dan anak-anak. Dulu kalau memikirkan untuk berkawan dengan sesiapa, rasanya saya tidak akan memilih selebriti kerana saya tahu bagaimana sibuknya kerjaya sebagai artis. Bagaimana komitmen mereka terhadap kerja dan kenapa saya mahu ambil risiko. Dan sudah semestinya 100 peratus dia akan menjadi suri rumah,” ulas Shuib.
Mengakui sedar akan kritikan masyarakat akan keputusan yang dibuat, bapa kepada empat orang anak ini turut memohon agar tidak membandingkan bakal isteri dengan arwah isterinya, Siti Sarah. Malah jelasnya, Siti Sarah berada pada tempat paling istimewa di hati.
“Tiada kerisauan apa-apa walaupun saya tahu untuk menuju perkara yang baik macam-macam boleh berlaku. Tetapi saya mohon sangat agar Allah permudahkan segalanya.
“Sarah ada tempat paling istimewa di hati saya dan Wati pun tahu tentang itu. Perbandingan antara mereka tidak sepatutnya berlaku kerana kita kena terima realiti. Dan ini tidak adil untuk Wati, apa salah dia? Dia nak ada dengan saya untuk anak-anak. Perbandingan itu mungkin akan menyakitkan orang lain juga,” tambahnya lagi.
Shuib turut mengulas sebab utama mengapa dia meminta bapa mertua arwah isteri menjadi wakil dalam majlis pertunangannya tempoh hari.
“Bapa mertua arwah pinangkan Wati atas permintaan saya kerana saya menganggap dia seperti bapa sendiri. Dan saya rasa dalam hidup saya banyak dipengaruhi oleh dia. Kenapa tidak untuk dia menjadi wakil majlis pertunangan itu,” katanya.
Terdahulu, Shuib dan Watie atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah,35, melangsungkan pertunangan pada 6 Mei dan menetapkan 23 Jun ini untuk tarikh pernikahan.
Siti Sarah meninggal dunia akibat COVID-19 pada 9 Ogos 2021 dan menerusi perkahwinan bersama Siti Sarah pada 2011, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan berusia setahun lima bulan.

