Jika sudah minat, di mana-mana sahaja boleh berniaga. Tiada istilah duduk diam, buat Chef Zaidah Mohd Noor, meskipun restoran D Jeumpa miliknya sudah tutup sepenuhnya gara-gara pandemik.
Menurut Chef Zaidah, walaupun tidak lagi menguruskan restoran, dia masih berniaga seperti biasa mengambil dan menerima pelbagai jenis tempahan makanan daripada pelanggan setianya menerusi online.
“Kalau dahulu saya berniaga secara katering, tetapi sekarang saya ambil tempahan kecil-kecil sahaja. Saya menjual mengikut set hidangan sekeluarga dalam empat hingga lima orang makan,” kata Chef Zaidah.

Menu makanan juga berubah setiap minggu mengikut permintaan daripada pelanggan. Minggu ini misalnya, Nasi Arab antara menu yang mendapat tempahan.
“Saya cuba untuk memenuhi permintaan pelanggan satu persatu, kadang-kadang tidak sempat juga, kerana tidak cukup kakitangan dan kesuntukan masa. Malah jika saya ada urusan lain, saya terpaksa tutup tempahan buat seketika,” ujarnya.
Dalam pada sibuk menguruskan bisnes online, Chef Zaidah kini turut kembali aktif memasak menerusi saluran Youtube miliknya iaitu Cooking with Chef Zaidah Lady Zai yang mempunyai pengikut hampir mencecah 50 ribu orang.

“Sayang kalau tidak diteruskan, sebab itu saya kembali aktif membuat video-video masakan,”ujar Chef Zaidah yang juga turut mendapat beberapa tawaran untuk bekerjasama dalam menjayakan rancangan dan program masakan.

