UMNO akan menunjukkan jalan teladan dalam usaha menjayakan politik baharu yang lebih matang dan bermakna sempena ulang tahun ke-77 parti tersebut.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu berazam mengurniakan rakyat Malaysia dengan sebuah kerajaan yang diyakini dan sentiasa mempertahankan nilai-nilai demokrasi serta hak kemanusiaan dan cakna realiti semasa.
Kata beliau, peranan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan merupakan peluang untuk menggalas tanggungjawab mentadbir negara dengan baik dan membuktikan kebolehan memimpin harapan rakyat.
Atas dasar itu, Ahmad Zahid berkata sangat penting bagi ahli-ahli menjelmakan kembali kekuatan UMNO kerana parti itu perlu kuat dan mantap selain mempunyai tapak yang luas serta inklusif.
“Ingat, parti bersejarah ini bermula sebagai gerakan amal bakti dan bukan kelab golongan elit, golongan hartawan dan peniaga atau kelab ‘eksklusif’.
“Prinsip perjuangan parti perlu sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. Yang bertunjangkan semangat kemasyarakatan yang tinggi.
“Visi parti bukan pada Malaysia yang kuat semata-mata tetapi pada rakyatnya yang hidup aman dan makmur,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun UMNO ke-77.
Baca artikel berkaitan: “Tidak mahu khemah parti lain, akan bantu UMNO dalam PRN jika dilepaskan penggantungan” – Tajuddin
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO akan menawarkan wawasan ke arah kesederhanaan, kesaksamaan, keadilan, kebebasan dan pertumbuhan ekonomi bagi jangka masa panjang melalui satu set dasar yang wajar serta boleh dicapai daripada pelbagai latar belakang etnik dan agama.
Jelasnya, UMNO tidak akan sesekali lelah dalam menawarkan penyelesaian tuntas kepada permasalahan rakyat Malaysia.
“Parti ini akan terus menawarkan rakyat Malaysia pelan jangka panjang yang akan mengubah kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik dan memenuhi keperluan abad ke-21.
“UMNO memahami dan mewakili realiti semasa dan sentiasa bersedia untuk melaksanakan segala tuntutannya termasuk memperkasa agenda Melayu dalam konteks Malaysia yang semakin moden,” jelas beliau.
Sementara itu, Ahmad Zahid mendakwa musuh-musuh UMNO dilihat terus cuba membina propaganda negatif kerana tidak senang dengan kedudukan parti itu sekarang.
Beliau berkata, musuh berkenaan terus ghairah menanam perasaan benci dan prejudis yang melampau dalam pemikiran rakyat terutama anak-anak muda.
Katanya, permainan persepsi itu diasak sepanjang masa sehingga membentuk satu realiti yang merbahaya dalam pemikiran dan kehidupan rakyat.
“Politik nilai, politik khidmat, ikhtiar untuk membina negara yang terbaik, iltizam politik untuk meletakkan negara pada landasan ekonomi yang kukuh dan terbaik semuanya diketepikan dan digantikan dengan kebencian dan dendam kesumat.
“Semuanya dihidangkan sebagai bufet soundbyte yang mudah dihadam dan diterima serta berlegar di domain digital sehingga ke hari ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

