DUA sekawan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menggunakan bahan letupan buatan sendiri yang telah menyebabkan letupan di hadapan sebuah kedai di ibu negara, awal bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh, Alex Lau Kwang Lee, 32 dan Lei Meng Sien, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Farahin Roslan, pagi ini.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama-sama didapati menyalahi undang-undang dengan berniat jahat menggunakan bahan letupan buatan sendiri yang boleh membahayakan nyawa serta kerosakan pada harta kepunyaan pemilik premis berkenaan, Yong Yiam Whey, 44.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah kedai di Brieckfields, Kuala Lumpur sekitar jam 5 pagi pada 2 Mei lalu.

Justeru kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6, Akta Bahan Letupan 1957 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah seksyen dan kanun yang sama.
Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh yang juga merupakan pekerja logistik dan penjual alat ganti telefon pintar boleh dihukum penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua- duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi , mencadangkan wang jaminan sebanyak RM10,000 serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Sementara itu, Peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh Mohd Izhar Ahmad Azmi memohon mahkamah membenarkan jaminan minima dan munasabah terhadap anak-anak guamnya.
Majistret kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 22 Jun depan bagi penyerahan dokumen dan sebutan semula kes.
Pada 2 Mei lalu, pihak polis dilaporkan menjumpai tiga paip PVC berwarna putih yang diubah suai menjadi bahan letupan di dalam sebuah premis di Jalan Klang Lama, selain alat kawalan jauh yang digunakan untuk meletupkan bom berkenaan.
Penemuan itu adalah susulan pihak polis menerima laporan berhubung insiden letupan di premis itu sekitar awal pagi pada hari sama.
Siasatan lanjut menemukan tiga kesan cap jari di lokasi kejadian dan pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup berjaya mengesan pergerakan dua lelaki di kawasan berkenaan.

