Pemodenan bola sepak pada zaman kini sudah mempengaruhi cara penyokong menghadam setiap perlawanan.
Ada yang rujuk media sosial untuk pendapat orang lain, ada yang membaca analisis perlawanan di Twitter dan ada yang membaca profil pemain di liga-liga lain.

Secara tidak langsung, ramai penyokong sudah menjadi ‘pakar’ kerana mendapat akses kepada semua perkara. Namun di pelosok ‘football twt’ yang lain, terdapat juga jenis manusia yang hanya menonton bola speak kerana mereka ingin menonton sahaja.

Dalam kalangan penyokong zaman moden ini, semakin ramai yang takut-takut untuk borak atau berkongsi pendapat dengan penyokong lain kerana mereka berasa seperti mereka tidak cukup tahu tentang bola sepak.

Kalau kita membaca artikel-artikel seperti di The Athletic, kita boleh berasa buntu dan adakalanya keliru dengan betapa banyak sebenarnya konsep yang wujud dalam bola sepak. Inverted full-back, Switch play, Box-to-box player, Traditional number 9” – Skrol bawah sedikit tiba-tiba ada ‘heat map’ pula.

Mungkin sesetengah penyokong rajin untuk menghadam segala data dalam sesuatu perlawanan tetapi kebanyakan daripada mereka hanya mahu tengok 22 orang menyepak bola antara satu sama lain selama 90 minit dan tidur. Mereka akan bersungut atau bersorak dan teruskan kehidupan seperti biasa.

Ramai yang menganggap ‘faham’ bola sepak bermaksud dia tahu semua benda tetapi sebenarnya, ia subjektif. Ada yang faham asas undang-undang bola sepak, kenali pemain dan hanya mahu tahu sejauh itu sahaja. Ada yang ingin fahamkan strategi dan taktik defensif/ofensif satu pasukan, bagaimana seorang pemain boleh mengubah perlawanan.

Bergantung kepada berapa banyak sel otak yang mereka boleh korbankan. Mereka menikmati bola sepak dengan cara masing-masing. Dan kedua-dua cara tidak salah. Yang paling penting, kami menyokong dan menyukai ‘the Beautiful game’.
Bak kata rakyat Twitter; belajar untuk perhati sahaja, tidak semua benda perlukan reaksi.