USAHA membawa turun jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia Jumaat lalu dari Everest Base Camp ke Kathmandu dengan helikopter akan dijalankan hari ini, sekiranya operasi dari Camp 4 itu berjalan lancar mengikut jadual.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan bahawa proses mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi peserta Misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang hilang, Muhammad Hawari Hashim sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Usaha SAR udara dijalankan sejak 20 Mei, namun masih tidak berjaya mengesan pendaki berkenaan. Proses mencari dan menyelamat diteruskan di kawasan darat di kawasan lurah-lurah ais, sejak 21 Mei,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya pihak kementerian menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan proses membawa pulang jenazah dan misi SAR berjalan lancar.
“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud, memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
BERITA BERKAITAN Kerajaan sedia penuhi hasrat keluarga bawa pulang jenazah Awang Askandar dari Everest
Sementara itu, Chef De Mission ME2023, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor, berkata misi mencari Muhammad Hawari akan diteruskan selama yang perlu dan diteruskan melalui laluan darat serta udara.
“Dalam misi pencarian ini kita juga sudah menghantar helikopter. Kita akan berusaha setakat mana yang boleh mengikut kemampuan kerana pencarian ini memerlukan wang,” katanya memetik laporan BH.
Mengulas mengenai usaha membawa turun jenazah Awang Askandar, Salleh berkata jenazahnya masih lagi dalam perjalanan untuk dibawa turun dari Kem Empat sejak semalam.
“Bila jenazah akan tiba kita juga tidak dapat dipastikan kerana beberapa faktor seperti cuaca yang kurang baik, angin kencang dan juga salji yang tebal,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

