VOKALIS kumpulan Pesawat, Hudzaifei Hazmi atau lebih mesra disapa sebagai Jipie memaklumkan single terbaharu berjudul Euphoria sudah pun dilancarkan baru-baru ini.
Lagu tersebut turut dijadikan runut bunyi (OST) drama Adnan Runner di bawah label Alternate Records and Talents.
Menurut Jipie, Euphoria membawa maksud kegembiraan yang boleh diadaptasi dalam kehidupan dan lagu itu boleh digunakan secara meluas untuk menggambarkan perasaan seseorang.
“Alhamdulillah, setelah empat tahun, akhirnya Pesawat keluarkan single terbaru berjudul Euphoria dan lagu ini baru dilancarkan minggu lalu.
“Euphoria ni sebenarnya membawa maksud yang besar dan meluas. Kami nak pendengar rasa kegembiraan melalui lagu ini dalam kehidupan semua.
“Kami sangat berbesar hati kalau lagu ini digunakan untuk momen-momen indah seperti video bersama keluarga atau rakan-rakan,” katanya kepada URTV.
Tambahnya, lagu itu mudah diingati kerana bait-bait lirik yang indah serta susunan muzik yang istimewa, diyakini berbeza dengan lagu arus perdana sedia.
“Lagu zaman sekarang memang banyak seperti tahun 90-an. Orang Melayu memang senang suka lagu-lagu cinta. Jadi, Euphoria ni adalah lagu rancak, enak didengari…tak adalah sampai peningkan pendengar melalui susunan muzik yang khas ni.
“Bercakap mengenai susunan muzik, kami cuba yang terbaik dan memang ada perbezaan dengan lagu-lagu terkini. Kami sedar walaupun lagu baru kami melawan arus, tapi kami harap masyarakat dapat terima lagu ini,” jelasnya.
Sepi selama empat tahun
Ditanya juga tentang perkara sebenar yang terjadi selama empat tahun kumpulan Pesawat menyepikan diri, vokalis berusia 42 tahun itu mendedahkan bahawa kumpulan mereka masih aktif dalam bidang muzik namun faktor komitmen lain membuatkan mereka senyap seketika.
“Walaupun hilang dari ‘radar’ arus perdana, Pesawat sebenarnya masih aktif. Kami masih aktif membuat persembahan di konsert, festival dan undangan show. Mungkin sebab tak ada lagu baru membuatkan Pesawat nampak seperti menyepi.
“Kami macam pesawat sebenar, bila hilang di awan, dia akan hilang kejap seperti hilang dari radar tapi sebenarnya kami masih ada cuma kekangan masa dari segi kerja, masa untuk keluarga dan sebab itu kami jarang muncul di kaca televisyen,” ujarnya.
Asal-usul nama kumpulan Pesawat
Jipie sempat berkongsi asal-usul nama Pesawat yang semuanya bermula ketika mereka ternampak sebuah kapal terbang yang sedang terbang di langit biru.
Tambahnya, pada zaman tersebut, ramai pemuzik yang menamakan kumpulannya dengan bahasa Inggeris tapi mereka lebih memilih untuk menggunakan bahasa Melayu sahaja.
“Masa tu, kami baru lepas ‘jamming’. Jadi, kami berkumpul dan memikirkan nama untuk kumpulan kami, tiba-tiba ada kapal terbang lalu tapi nak letak nama kapal terbang tak sesuai, jadi kami letak pesawat.
“Kami lebih suka letak nama kumpulan dalam bahasa Melayu sebab kumpulan lain dah banyak yang guna bahasa Inggeris jadi ada sedikit kelainan bagi kumpulan kami,” katanya.
Selain itu, Jipie menyatakan nama Pesawat ini sesuai dengan mereka dan mudah disebut ketika mereka membuat persembahan di festival di luar negara.
“Kami rasa nama pesawat ni menampakkan kami ni sebagai lelaki yang maskulin. Alhamdulillah, nama pesawat ni juga senang diingati dan disebut ketika kami membuat persembahan di Hong Kong dan Thailand. Tidak lupa juga kepada negara saya sendiri, Malaysia yang masih ingat tentang kami,” ujarnya.
‘Showcase’ seluruh negara
Selain menyanyi dan bermain muzik, Jipie yang juga seorang komposer itu turut berterima kasih kepada peminat Pesawat yang masih mengingati dan menyokong perjalanan karier seni mereka sehingga kini.
Ujar Jipie, mereka belum merancang untuk mengadakan konsert tetapi ‘showcase’ yang bakal menjelajah seluruh negara.
“Terima kasih banyak-banyak kepada penyokong dan penumpang Pesawat sejak 2005 sehingga kini. Insya-Allah kami janjikan dekat semua peminat untuk keluarkan album baru pada tahun ini.
“Terimalah hadiah istimewa daripada kami iaitu Euphoria dan single terbaru akan ada lagi nanti.
“Kami belum merancang untuk membuat konsert tapi lebih kepada ‘showcase’ yang melibatkan dalam lingkungan 500 orang dan kami akan menjelajah seluruh negara yang terdekat.
“Semoga lagu-lagu Pesawat menjadi malar segar yang akan didengar sampai bila-bila dan saya seronok apabila mengetahui Mirage masih menjadi siulan ramai sampai sekarang.
“Saya harap untuk lagu baru nanti begitu juga,” katanya ketika ditemui di Majlis Silaturahmi Aidilfitri Utusan Tv di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Untuk info, kumpulan Pesawat dianggotai oleh Jipie sebagai vokalis, Man (basis), Jay (gitar), Ermi (gitar) dan Jun (dram).

