PENYANYI terkenal, Celine Dion atau Céline Marie Claudette Dion terpaksa membatalkan hasrat untuk mengadakan konsert jelajah dunia disebabkan masalah kesihatan.
Menerusi laporan Agensi Berita Jerman (dpa), penyanyi berusia 55 tahun itu memuat naik di Instagram miliknya dengan memohon maaf kerana telah mengecewakan peminatnya.
“Saya minta maaf kerana sekali lagi mengecewakan anda semua,” tulisnya.
Sebelum ini, sekitar Disember 2022, penyanyi kelahiran Canada itu turut pernah membatalkan beberapa konsert jelajah Eropah dan musim bunga 2023.
“Baru-baru ini, saya telah didiagnosis dengan gangguan neurologi yang sangat jarang berlaku yang dipanggil sindrom orang kaku yang menjangkiti satu dalam sejuta orang,” katanya.

42 pertunjukkan di Eropah iaitu antara tiga konsert pada Ogos di Amsterdam terjejas akibat pembatalan konsert terbabit.
Peminat yang sudah membeli tiket boleh mendapatkan semula bayaran dengan menghubungi tempat pembelian asal tiket konsert.
“Adalah tidak adil untuk terus menangguhkan persembahan, sebaiknya kita batalkan segala-galanya sekarang sehingga saya benar-benar bersedia untuk kembali ke pentas.
“Saya mahu anda semua tahu, saya tidak berputus asa dan saya tidak sabar untuk berjumpa dengan anda lagi,” ujarnya.
Pada April lalu, Celine mengeluarkan lima lagu baharu untuk filem Love Again arahan James C. Strouse yang dibintangi oleh Priyanka Chopra Jonas dan Sam Heughan.
Filem yang mula ditayangkan pada 5 Mei itu turut menyaksikan Celine membuat penampilan sulungnya di layar perak.

