Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bersedia kerjasama semula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Ia susulan pengakuan bekas Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu yang telah menyatakan kesediaan kembali kerjasama dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Dalam hantaran di Facebook, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau menyambut baik kenyataan Dr Mahathir demi matlamat memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.

“Saya menyambut baik kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersedia bekerjasama dengan saya demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.

“Saya sedar perkembangan politik mutakhir ini meletakkan umat Melayu dan Islam di negara ini di suatu persimpangan yang getir.

“Maka sebagai seorang muslim, saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk Tun Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara,” kata Muhyiddin dalam hantaran tersebut.

Sebelum ini, Dr Mahathir mengakui kini bersedia bekerjasama semula dengan Muhyiddin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Baca artikel berkaitan: Perang bukan penyelesaian konflik – Tun Mahathir

Memetik laporan MalaysiaNow, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, usaha untuk memperjuangkan nasib orang Melayu perlu dijadikan antara matlamat utama selain menolak individu yang terpalit dengan isu rasuah atau salah laku jenayah.

Beliau berkata, masyarakat Melayu yang berpecah mengikut politik kepartian mengakibatkan parti politik Melayu sukar untuk memperbetulkan sebarang keadaan.

Dr Mahathir merupakan Pengerusi Bersatu ketika menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH) yang berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, beliau dipecat daripada Bersatu selepas berlakunya ‘Langkah Sheraton’ yang mengakibatkan perubahan kerajaan dengan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu diisi oleh Muhyiddin.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram