KEDUDUKAN Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat yang berasingan daripada Kedah telah jelas termaktub dan terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Pulau Pinang milik Kedah adalah tidak bertanggungjawab.
Menurut Perdana Menteri, kedudukan Pulau Pinang termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu di samping negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.
Katanya, Fasal (3) Perkara 71 Perlembagaan dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kedudukan Perlembagaan Negeri termasuk Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
Perdana Menteri menegaskan, perjanjian antara British dan Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah pada ketika itu iaitu Almarhum Sultan Badlishah Almarhum Sultan Abdul Hamid telah memeterai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.
“Semua undang-undang perjanjian terdahulu terbatal dengan wujudnya Persekutuan Tanah Melayu dan perjanjian yang turut diperkenan Raja-Raja Melayu.
“Kalau pun ada satu permohonan daripada Almarhum Sultan Badlishah ialah memohon kepada Inggeris kalau boleh dipertimbangkan, bukan menuntut (Pulau Pinang).
“Almarhum Sultan Badlishah mahu Inggeris mempertimbangkan supaya mendapat pandangan daripada penduduk Seberang Prai termasuk saya sama ada memilih mahu bersama Kedah atau kekal di Pulau Pinang.
“Tuanku Badlishah lebih bijak, lebih prihatin dan faham tentang peruntukan undang-undang, tak seperti yang kita dengar sekarang.
“Dalam keputusan itu akhirnya dimuktamadkan dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu di mana Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Badlishah telah memperkenankan perjanjian tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada waktu soalan pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Dewan Rakyat: PM jelaskan tindakan kerajaan berhubung isu P Pinang, Kedah
Perdana Menteri menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) tentang tindakan ke atas gesaan Menteri Besar Kedah bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah yang telah memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.
Sidang Dewan Rakyat sebelum itu tergendala kira-kira 10 minit selepas ahli Parlimen pembangkang bangkit menyatakan rasa tidak puas hati terhadap soalan yang dibangkitkan Guan Eng.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Sanusi itu adalah disebabkan pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Oleh itu, Anwar berkata, beliau menyerahkan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan yang sesuai.
“Apakah kerana gelojoh kuasa pilihan raya, kita korbankan prinsip Perlembagaan dan timbulkan huru-hara. Ini telah menimbulkan permasalahan.
“Kita sudah merdeka lebih enam dekad. Parti-parti memerintah sama ada Barisan Nasional (BN), Pas, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN). tak pernah dibangkitkan melainkan seorang ketua yang tak bertanggungjawab yang sanggup melanggar prinsip undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

