PENYANYI, Shila Amzah memaklumkan bahawa dia tidak suka dengan tindakan segelintir warganet yang menggabungkan nama pendeknya beserta nama tunangnya, Ubai dalam bentuk tanda pagar.
Ujar Shila atau Nurshahila Amir Amzah, dia tidak gebar dengan gandingan nama terbabit kerana salah satunya membawa maksud negatif.
“Hashtag itu (#ShiBai) kan bunyinya tidak elok, kemudian orang ramai suka buat bergurau dengan perkara itu. Jadi, saya tidak suka,” katanya semasa melakukan siaran langsung di akaun Instagram miliknya pada Selasa lalu.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 33 tahun itu akan bertindak terus menegur individu yang memanggilnya dengan panggilan tersebut malah meminta para peminat menghormati pendiriannya itu.
“Saya juga tiada masalah untuk beritahu orang yang saya tidak suka. Orang kena hormat yang saya tak suka.
“Kalau mereka buat juga maknanya mereka tiada otak, setidaknya saya dah beritahu yang saya tidak suka ‘hashtag’ itu,” ujarnya.
Namun, sebelum ini penyanyi lagu Patah Seribu itu turut meminta agar para peminat untuk menukar tanda pagar tersebut kepada nama pasangan itu sendiri.
Pada 27 Mei lalu, Shila dan Ubai mengikat tali pertunangan di sebuah majlis tertutup selepas menjalinkan hubungan cinta sejak Februari lalu.
Untuk rekod, penyanyi lagu Memori Tercipta itu pernah berkahwin dengan Haris Edraki Elias pada April 2018 namun bercerai pada Februari 2022. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Seth Uwais.

