Oleh Ahmad Abd Hamid

SEJUMAH 14,858 calon dilapor tidak hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022. Jumlah ini ialah 3.8 peratus daripada keseluruhan 388,382 calon yang telah mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya untuk enam subjek.
Statistik Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan jumlah tidak hadir ini meningkat berbanding SPM 2021 yang merekodkan 10,861 atau 2.7 peratus calon ponteng daripada keseluruhan 392,837 calon berdaftar tidak hadir.
Memetik Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pelbagai faktor dipercayai menjadi punca kepada gejala ini, melibatkan bukan sahaja sekolah di bawah kementerian tetapi juga sekolah persendirian.
Kerana itu dalam merumus punca sebenar, kajian terperinci akan dilaksanakan berdasar pecahan sekolah kerajaan dan persendirian dalam usaha mengenal pasti punca sebenar di samping mencari jalan memastikan perkara itu tidak berulang.
Yang gagal hadir peperiksaan ini bukan seorang, 100 atau 1,000 orang, tetapi belasan ribu. Jika 1,000 tidak hadir pun sudah tinggi, apatah lagi belasan ribu. Fenomena ini sangat menakutkan, apatah jumlahnya meningkat berbanding tahun lalu.
Dengan jumlah yang tidak hadir dalam SPM 2021 seramai 10,861 calon berbanding 14,858 pada SPM 2022, bermakna wujud pertambahan 3,997 calon. Dibimbangi trend ini akan berterusan pada SPM 2023 jika tiada langkah diambil mengekangnya.
Walau pun yang tidak hadir peperiksaan ini juga melibatkan sekolah persendirian, kemungkinan besar majoriti atau peratus terbesar yang tidak menjengah ke dewan peperiksaan adalah pelajar sekolah kerajaan. Ini kerana pelajar sekolah kerajaan lebih ramai.
Selain itu kecenderungan pelajar sekolah persendirian untuk tidak hadir peperiksaan pula adalah tipis. Ini kerana sebagai pelajar persendirian mereka dilihat mempunyai komitmen lebih tinggi untuk membuktikan kemampuan dalam pelajaran.
Namun dalam apa senario pun, bagi penulis faktor jelas ketidak hadirin pelajar menduduki peperiksaan adalah kerana tiada minat dan tiada iltizam untuk berjaya. Calon sekadar mendaftar tetapi sebenarnya tidak berhasrat menduduki peperiksaan.
Mungkin juga mendaftar kerana terpaksa sebab menurut kemahuan ibu bapa. Tambahan kini tiada bayaran untuk menduduki peperiksaan SPM atau Malaysia Certificate of Education (MCE) seperti ketika era penulis menduduki MCE dahulu. Kerana itu tidak rugi duit jika tidak ambil peperiksaan.
Gejala tiada minat ini biasanya berlaku di kalangan pelajar yang ke sekolah tetapi menganggap ‘sekolah bukan sekolah’. Mereka sekadar datang ke sekolah tetapi tidak minat belajar serta tidak membuat kerja sekolah yang disuruh guru. Biasanya mereka ini adalah penghuni ‘kelas hujung’ atau ‘kelas belakang’.
Kerap kali kelompok ini ponteng sekolah atau melakukan pelanggaran disiplin lain. Ini termasuk menghisap rokok, tidak menghormati serta melawan guru.
Tetapi kerana mereka berada di sekolah, guru-guru perlu melunaskan tanggung jawab mendidik walau pun guru-guru sedar pelajar-pelajar tersebut tidak berminat. Prestasi mereka di bilik darjah dan disiplin di sekolah menyerlahkan tidak minat ini.
Adakah sistem persekolahan yang membenarkan pelajar belajar dari tingkatan satu hingga tingkatan lima menjadi punca masalah ini? Suatu ketika dahulu peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Lower Certificate of Education (LCE) sewaktu di tingkatan tiga dijadikan sebagai penapis pelajar.
Mereka yang berjaya dalam peperiksaan ini dengan mendapat Gred A secara otomatik naik ke tingkatan empat. Yang mendapat Gred B dengan agregate tertentu juga diberi kelonggaran. Selain daripada itu memang tidak berpeluang ke tingkatan empat di sekolah kerajaan.
SRP kemudian digantikan dengan PMR sementara LCE sudah tiada dengan pemasuhan aliran Inggeris. Semuanya menduduki PMR yang telah pun dimasuh. Sejajar dengan perubahan masa dan hasrat kerajaan memberi peluang pendidikan menengah kepada semua, tiada lagi tapisan dibuat.
Setiap pelajar, tanpa mengambil kira keputusan peperiksaan, dibenar meneruskan pelajaran di tingkatan empat. Pelajar yang teruk pretasi akademik, dan sebenarnya sudah tidak minat belajar, juga naik tingkatan. Hanya kelas tidak sama dengan pelajar cemerlang.
Menyediakan pendidikan hingga sekurang-kurangnya tingkatan lima memang baik. Tetapi masalahnya ia membawa bersamanya pelajar-pelajar yang sudah hilang minat belajar serta lebih suka kehidupan bebas di luar tanpa terikat dengan sekolah dan peraturannya. Kehadiran mereka ke sekolah bagai terpaksa.
Kemungkinan besar golongan inilah yang ramai tidak hadir peperiksaan SPM 2021 dan 2022. Mereka juga dikatakan punca ‘menarik turun’ prestasi sekolah secara keseluruhannya. Angka Gred Purata Nasional (GPN) membesar walau pun ramai berjaya cemerlang.
Lalu apakah langkah yang boleh diambil mengatasi masalah ponteng peperiksaan ini? Jika benar kerana pelajar yang tidak berminat, apakah pendekatan boleh diambil? Bolehkah dikenal pasti yang tidak mahu mengambil peperiksaan dan dilarang mendaftar?
Ini nampak bercanggah dengan matlamat menyediakan pendidikan sehingga tingkatan lima. Tetapi apa gunanya ‘memaksa’ pelajar yang memang tidak mahu belajar untuk berada di bilik darjah dan kemudian hilang waktu peperiksaan.
Atau wajarkah diwujudkan kembali sistem saringan seperti dahulu supaya isu ini dapat dikawal dari peringkat awal? Benar, ia nampak seperti pergerakan ke belakang. Tetapi ia bukan mengenepikan terus pelajar kurang cemerlang.
Yang tidak cemerlang akademik boleh saja menceburi bidang teknikal atau kemahiran. Peluang kerja dalam bidang ini juga banyak. Kuncinya di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

