Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague kemenangan penting Malaysia – PM

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan The Hague yang menolak untuk mengiktiraf Final Award dikeluarkan melalui proses timbang tara dituntut pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu disifatkan kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Mahkamah Rayuan The Hague itu semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya Final Award yang tidak sah dan disalahgunakan pihak yang menuntut berjumlah hampir AS$15 bilion dikeluarkan Dr Gonzalo Stampa.

Menurut Perdana Menteri, ia juga menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah.

Anwar menegaskan, Malaysia percaya keputusan Mahkamah Rayuan The Hague bersama-sama dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini akan menamatkan usaha sia-sia pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan Final Award di negara-negara lain.

“Kerajaan Malaysia mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague yang telah memihak kepada Malaysia dengan menolak untuk mengiktiraf Final Award.

“Keputusan ini sekali gus menghalang apa-apa usaha oleh pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap kerajaan Malaysia di Belanda.

“Sehingga kini, kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan negara dan kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kes sulu itu turut membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara Malaysia Madani.

Baca artikel berkaitan: Mahkamah Rayuan Paris benar permohonan Malaysia gantung tuntutan waris Kesultanan Sulu

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Sekretariat Khas yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan semua kementerian serta agensi berkaitan termasuk peguam antarabangsa dan semua pihak yang terlibat dalam usaha tersebut.

“Kerajaan akan meneruskan usaha melalui apa-apa juga cara bagi menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa termasuk mengambil sebarang tindakan yang perlu bagi mendapatkan kembali segala kos perundangan daripada sumber kewangan negara yang terpaksa dibelanjakan dalam menangani tuntutan ini.

“Kerajaan yakin bahawa ia dapat menegakkan keadilan bagi seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu ketika ditemui pemberita di ibu negara Laos, Perdana Menteri menambah: “Alhamdulillah kita menang. Malaysia berjaya menamatkan satu episod yang tidak baik pihak yang mencabar kedaulatan negara.”

Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda hari ini menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di negara itu.

Award itu telah diberikan oleh penimbang tara Sepanyol Dr Gonzalo Stampa pada 28 Feb 2022 kepada lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan award itu, kumpulan Sulu terbabit telah dilaporkan cuba menyita aset Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk sebahagian daripada kedutaannya di negara itu).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Gempa kuat landa Mindanao, gegaran dirasai di Semporna

GEMPA bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda Mindanao, Filipina pada pukul 7.34 malam tadi. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gegaran turut...

More Articles Like This