LAPAN tahun tidak bersua, penyanyi legenda, Datuk Awie menggambarkan rasa teruja menunggu masa yang sesuai untuk bertemu dengan anak-anaknya pada hari raya Aidiladha nanti.
Ujar Awie atau Ahmad Azhar Othman, dia benar-benar mengharapkan perancangan bertemu dua anaknya, Putra Ahmad Rezzki dan Putri Qasseh Antasha menjadi kenyataan.
“Insya-Allah raya tahun haji ni saya akan jumpa anak saya, setelah lapan tahun kami terpisah. Sangat bermakna raya tahun ini bagi saya.
“Kami akan bertemu pada hari raya pertama dan saya tak sabar menanti hari-hari yang mendatang,” katanya kepada URTV.

Dalam pada itu, pelakon filem Pemburu Bayang tidak mahu memaklumkan secara terperinci tentang perjumpaan tersebut kerana anaknya belum memberikan sebarang jawapan yang spesifik.
Bagaimanapun, penerbit filem Sue-On itu meletakkan harapan besar untuk pertemuan yang dinanti-nantikan.
“Belum ada lagi perancangan untuk bertemu dekat mana, saya pun masih tunggu lagi balasan mesej daripada dia. Kalau dia kata nak keluar, saya akan bawa dia keluar.
“Qasseh saja yang hubungi saya, saya tak dapat kenal pasti nombor telefonnya, jadi, saya pun tak dapat nak hubunginya semula. Saya harap dapat jumpa dia walaupun separuh hari,” luahnya.
Awie turut berkongsi tentang peristiwa menghubungi anaknya, Qasseh, yang meluahkan rasa rindu kepadanya melalui mesej ketika pulang dari menunaikan umrah pada Ramadan lalu.
Vokalis kumpulan Wings itu akui sering berhubung dengan anaknya dan sentiasa tunggu notifikasi daripada anaknya.
“Masa tu dekat tanah suci Makkah, saya doa banyak-banyak untuk dipertemukan kembali dengan anak-anak saya.
“Saya tak sangka balik dari sana, terus saya dapat mesej yang membuat saya berderai air mata saya. Sekarang mereka dah berusia 13 dan 15 tahun,” katanya ketika ditemui di majlis malam gala dan tayangan perdana filem Sue-On di sebuah panggung yang terletak di Petaling Jaya.
Untuk rekod, Putra Ahmad Rezzki, Puteri Qasseh Antasha dan juga Putra Ahmad Merrah merupakan hasil perkahwinan pelakon filem Sembilu bersama Rozana Misbun yang berkahwin pada 2006 namun bercerai pada 2014.
Awie juga memiliki dua anak hasil perkahwinan pertama dengan penyanyi, Arni Nazira iaitu Putri Aleeya Antasha, 23 dan Putri Aleefa Antasha, 21.
Pada 7 Oktober 2016, Awie berkahwin dengan Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin dan dikurnikan seorang anak pada 2020.

