Manuskrip Voynich, tulisan paling misteri di dunia yang masih gagal dirungkai

Dari Penulis

Sekitar tahun 1912, seorang pengumpul barangan antik, Wilfrid M. Voynich menemui senaskah manuskrip bertulisan ganjil. Naskhah setebal 240 halaman itu dianggap sesuatu yang luar biasa oleh Wilfrid Voynich kerana dia tidak pernah menjumpai tulisan sebegitu.

Usaha menjejak tulisan itu akhirnya menjadi satu teka teki dalam hidup Wilfrid. Ia kemudian menjadi salah satu benda yang tidak mampu dipecahkan misterinya sehingga ke hari ini. Sebabnya, tiada siapa yang tahu apakah yang ditulis dalam manuskrip Voynich tersebut (diambil sempena nama Wilfrid).

Dipercayai, manuskrip itu berasal dari Eropah. Berkemungkinan ia ditulis sekitar abad ke 15 ataupun 17. Namun, Universiti Arizona yang pernah melakukan ujian terhadap kertas manuskrip ini mendapati ia diperbuat sekitar tahun 1404 – 1438.

Wilfrid Voynich, pengumpul yang menemui manuskrip yang dinamakan sempena namanya.

Tiada yang tahu siapa penulisnya. Inilah teka teki yang masih menjadi persoalan ahli kriptologi (bidang kajian tulisan kuno). Para pengkaji hairan, kenapa huruf-huruf yang terdapat dalam manuskrip tersebut tidak pernah ditemui dalam mana-mana tamadun silam sebelum ini. Lebih pelik lagi apabila ahli sejarah membuktikan, pada abad ke 15 hingga 17, sistem tulisan moden yang menggunakan huruf roman telah digunakan di Eropah dan semua manuskrip yang ditulis mempunyai nama penulisnya.

Selain mempunyai muka huruf yang sukar difahami, terdapat juga beberapa ilustrasi dalam manuskrip Voynich ini yang menimbulkan pelbagai tanda tanya. Salah satu daripadanya adalah ilustrasi yang memaparkan beberapa jenis spesies tumbuhan, lakaran peta seperti benua Antartika, planet-planet, galaksi dan sekumpulan wanita yang sedang berendam di sebuah kolam.

Mengikut kajian, manuskrip ini mengandungi 170,000 patah perkataan. Setiap patah perkataan itu mempunyai 20 hingga 30 jenis muka huruf yang berbeza-beza dan tiada satu huruf pun yang mempunyai kesamaan dengan huruf tulisan kuno di Eropah.

Tiada yang dapat memecahkan misteri tulisan manuskrip ini.

Pada tahun 1921, seorang profesor dari Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat, Wiliam R. Newbold mendakwa, setiap patah perkataan yang terdapat dalam manuskrip Voynich merupakan penemuan sains yang ditulis pada abad ke-13. Bentuk tulisan itu hanya boleh dilihat di bawah kanta pembesar kerana ia adalah perkataan daripada tulisan Yunani kuno.

Bagaimanapun, Newbold memberitahu, manuskrip berkenaan telah ditulis oleh seorang ahli falsafah Inggeris bernama Roger Bacon. Namun penjelasan Newbold itu tidak diterima komuniti akademik kerana tidak ada pembuktian yang jelas dan nyata. Apa yang dikemukakan Newbold hanya andaian beliau semata­-mata.

Kemudian pada tahun 1940, dua orang pemecah kod amatur bernama Joseph M Freely dan Leonell C. Strong telah menggunakan kaedah penggantian tulisan untuk mengkaji Voynich. Melalui kaedah itu, mereka telah gantikan muka huruf manuskrip itu kepada tulisan rumi dan mendapati ia adalah sebuah karya tulisan Anthony Ascham yang bertajuk ‘a little Herbal’. Karya ini telah diterbitkan pada tahun 1550.

Namun, para pengkaji berpendapat, penyelidikan yang dilakukan dua orang pemecah kod ini hanya berdasarkan imaginasi saja. Ini kerana, tidak mungkin tulisan yang tidak di ketahui makna alfabetnya dapat memberikan makna apabila ditukarkan ke alfabet tulisan yang bermakna.

Selepas itu, pada tahun 1945, sekumpulan pemecah kod rahsia profesional pula mencuba nasib menterjemahkan manuskrip itu. Malangnya, kumpulan rahsia yang pernah memecahkan kod rahsia tentera Jepun ketika perang dunia kedua itu turut gagal menyingkap misteri Voynich.

Pada tahun 1987, seorang pakar fizik bernama Leo Levitov menyatakan bahawa manuskrip tersebut dihasilkan oleh kaum Cathar. Menurut Levitov, huruf yang digunakan itu adalah campuran daripada bahasa Belanda, Jerman dan Perancis kuno. Walaupun jawapan itu seperti masuk akal, namun terjemahan yang dihasilkan Levitov langsung tidak boleh dibaca. Malah sejarah dan teologi kaum Cathar juga bertentangan dengan dakwaan Levitov.

Setelah berpuluh­-puluh tahun manuskrip ini diteliti, muncul satu teori yang dianggap paling diterima akal iaitu manuskrip Voynich adalah ‘hoax’ atau tipu helah. Teori ini dikemukakan oleh Gordon Rugg, seorang pakar psikologi dalam jurnal kriptologi pada tahun 2004.

Menurut Rugg, selama tiga bulan dia meneliti manuskrip tersebut, dia mendapati manuskrip itu tidak mengandungi apa-­apa maklumat. Ia hanya tulisan palsu yang mengaburi mata orang. Justeru, Rugg melabelkan manuskrip berkenaan sebagai satu tipu helah.

Antara kandungan dalam manuskrip Voynich.

Menurut Rugg, pada tahun 1550, terdapat sejenis alat yang dicipta khusus untuk melakukan penipuan manuskrip. Ia dikenali sebagai Carden Grille. Alat ini dicipta oleh rakyat Perancis yang bernama Girolamo Cardano.

Jelas Rugg, apabila menggunakan alat tersebut, seseorang yang pintar mampu menulis satu halaman manuskrip Voynich dalam tempoh masa satu atau dua jam. Dan untuk menyiapkan keseluruhan halaman manuskrip ini, ia hanya memerlukan tempoh masa tiga atau empat bulan termasuk ilustrasinya. Rugg turut mendakwa, manuskrip itu telah ditulis oleh seorang ahli kimia Inggeris bernama Edward Kelley.

Persoalannya, sekiranya manuskrip ini hanyalah sebuah tipu helah, mengapa penulisnya bersusah payah menghasilkannya? Jawab Rugg, ia hanyalah disebabkan wang.

Sebenarnya, terdapat pelbagai lagi teori dan hipotesis yang dikaitkan dengan manuskrip ini. Ini termasuk dikaitkan sebagai kod rahsia untuk ramuan hidup abadi. Apa pun teori yang dikaitkan, ia menjadi manuskrip paling misteri di dunia yang mencabar pengetahuan para cendekiawan.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya bukan main jin!” Tok Dewata bongkar rahsia seni persembahan ‘Main Teri’

Nama Tok Dewata kembali menjadi bualan hangat apabila seni persembahan Main Teri yang melibatkan beliau tular di media sosial.  Namun...

More Articles Like This