Tidurku diiringi hilai ketawa ‘si dia’

Dari Penulis

KISAH pelajar yang diganggu macam-macam pengalaman misteri di asrama memang biasa kita dengar sejak dahulu lagi. Aku pun ada pengalaman yang sama. Kejadian ini berlaku lebih 10 tahun yang lalu, semasa aku bergelar seorang pelajar di sebuah universiti di selatan tanah air. Dalam jurusan apa, biarlah rahsia.

Semasa di universiti, aku sangat aktif dalam kumpulan muzik. Aku juga banyak habiskan masa lapang dengan gitar kesayangan aku. Hampir setiap malam, aku dan rakan-rakan satu kepala akan berlatih di pusat latihan yang disediakan pihak universiti. 

Hendak dijadikan cerita, penghujung bulannya ada pertandingan battle of the band yang diadakan di kolej berdekatan. Aku dan rakan-rakan memang mahu sertai pertandingan itu. Hajat di hati, kami nak kalahkan juara bertahan di kawasan itu. Tapi yang jadi masalah, pertandingan itu dijalankan sewaktu minggu peperiksaan berlangsung. Tetapi sebagai anak jantan, aku amalkan prinsip, burning the midnight oil, atau dalam bahasa mudahnya, study last minute!

Setelah hampir dua minggu mempersiapkan diri untuk pertandingan, tibalah hari yang dinantikan. Lagi buat aku bertambah gerun, keesokan harinya aku ada satu ujian besar, subjek pensyarah yang paling aku takuti di universiti itu.  Subjek yang lain aku yakin memang aku akan dapat markah yang teruk. Sebab aku langsung tak buat ulangkaji. Tetapi untuk subjek ini, aku tak mahu fikirkan akibat kalau aku tak dapat markah yang bagus.

Mana tidaknya, muka pensyarah itu bengis mengalahkan singa betina. Sedangkan dia mengajar pun semua pelajar sudah kecut perut, inikan pula kalau dia menjerit bila kami dapat markah yang tak memuaskan dalam subjek yang diajarnya.

Sepanjang pertandingan berlangsung malam itu, aku memberi sepenuh perhatian. Battle of the band berakhir sekitar jam 12.00 malam dan seperti yang kami sudah jangka, band kami menjadi juara. Selepas selesai semuanya, aku bergegas pulang ke hostel. Apa-apa pun, aku kena juga study malam ni!

Aku tiba di hostel sekitar jam 12.45 minit malam. Aku tinggal berdua dalam bilik hostel itu bersama Zam, budak pengajian Islam. Aku beritahu Zam yang aku hendak study malam tu. Zam biasanya tidur lewat, entah kenapa malam itu, Zam kata matanya mengantuk dan ingin tidur awal.

Oleh sebab tak mahu mengganggu Zam, aku hanya buka lampu meja study. Aku duduk di meja yang bersebelahan dengan pintu balkoni bilik kami.

Jam sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi, kertas-kertas nota bertaburan di atas meja. Makin aku baca, makin tak faham, sedangkan masih banyak topik yang perlu aku baca. Aku buka sedikit pintu balkoni, ingin biar angin sejuk masuk. Aku tiba-tiba rasa tak sedap hati, entah mana silapnya, aku pun tak tahu. Aku capai headphone dan mula mainkan lagu-lagu yang ada di dalam handphone.

Jam menginjak ke pukul 3.00 pagi. Masih ada beberapa topik yang belum aku baca. Bilik yang tadi berkuap panas, kini tiba-tiba sejuk. Pintu bilik yang tadi dibuka, aku tutup. Lain macam pula sejuknya. Bulu roma tiba-tiba berdiri, ahh sudah. Aku lihat sekeliling bilik, Zam sedang lena dibuai mimpi. Lampu yang samar-samar menambahkan lagi rasa cuak.  Kalau ikutkan hati, hendak saja aku hidupkan lampu utama, tetapi kesian pula pada Zam, dia tidak boleh tidur dengan lampu terbuka.

Ahhhh jangan layan sangat perasaan takut! Aku pesan pada diri sendiri. Muzik di telinga aku kuatkan ke volum paling kuat. Sehelai demi sehelai nota aku selak. Selang beberapa minit selepas itu, aku rasakan seperti ada hembusan angin kuat pada tengkuk. Aku pantas menoleh. Tak ada apa-apa.

Daripada meja studi, aku beralih ke katil. Perasaan seram sejuk masih lagi ada. Daripada duduk menyandar, aku mula berbaring. Bukan sebab aku mengantuk, tetapi rasa seram yang menyerang diri menjadi-jadi.

Tiba-tiba aku terdengar bunyi sayup-sayup perempuan sedang ketawa yang datangnya dari balkoni bilik. Dari mana pula datangnya suara perempuan ni? Sekadar ingin sedapkan hati, aku agak mungkin datangnya daripada bawah blok, kerana blok aku berhampiran dengan sebuah meja yang selalunya menjadi tempat budak-budak perempuan buat study group. Tapi, study group apa pukul 3.00 pagi?

Walaupun aku pakai headphone dan pasang muzik sekuat hati, aku masih boleh dengar suara ketawa itu dengan jelas. Kali ini, bunyinya datang seperti dari bilik sebelah. Hairan, sebab setahu aku, Hadi, merangkap jiran sebelah bilik kami tiada di biliknya. Dia pulang ke Sabah kerana ada hal keluarga. Kalaupun dia ada di sebelah, takkanlah Hadi berani bawa masuk perempuan. Ishhhh, tak mungkin!

Nak jenguk daripada pintu balkoni aku tak berani, jadi dalam keadaan terketar-ketar, aku gagahkan kaki ke pintu utama bilik. Aku keluar dan mengintai di bawah pintu bilik Hadi. Gelap! Sah, memang Hadi tiada di dalam bilik!

Dengan keadaan takut-takut, aku melangkah kembali ke dalam bilik, waktu itu segala perasaan bercampur aduk. Rasa nak terkucil dalam seluar pun ada! Aku perhatikan Zam yang sedang tidur lena. Perlahan aku gerakkan bahu Zam. “Zam, weh Zam bangunlah, kau dengar tak tu..”

Tetapi Zam masih kaku tidur. Pelik betul, selalunya kalau aku batuk kuat sedikit pun dia sudah terjaga.

“Zammm, bangunlah Zam! Adoi dia ni masa-masa nilah kau nak tidur mati!”  geram pula rasanya bila aku kejutkan dia tak mahu bangun!

Selepas puas mengejut Zam yang tak mahu bangun, aku kembali ke katil. Perasaan aku ketika itu, hanya Tuhan yang tahu. Aku baca apa sahaja ayat-ayat suci Al-Quran yang aku ingat, tapi.. semuanya berterabur.

Pintu balkoni yang aku sudah tutup dan kunci sebentar tadi, tiba-tiba terbuka. Bunyi ketawa yang tadi hanya segan-segan, kini semakin galak. Bengang pula rasanya bila diketawakan begitu. Tapi memang tak beranilah aku nak tanya kenapa dia ketawa!

Dari hujung mata, aku lihat ada bayang berwarna putih sedang duduk bertenggek atas balkoni bilik kami. Mukanya dihadapkan ke arah lain.

“Allah.. Allah.. Allahh..” hanya itu yang mampu aku ucapkan ketika itu. Dalam hati berdoa, janganlah kau pandang sini. Waktu itu, aku tak kisah lagi fasal ujian esok. Aku terus menggigil dan berselubung dalam selimut. Tidurku dinihari itu diiringi dengan bunyi hilai ketawa ‘si dia’.

Malam itu rasa terlalu lama. Aku tak mampu melelapkan mata, lebih kurang hampir jam 6.00 pagi, azan Subuh berkumandang. Tanpa menunggu lama, aku terus kejutkan Zam. Hairannya, kali ini mudah pula dia terjaga.

“Eh Sham, apa mimpi kau bangun subuh awal ni, selalu aku kejut pun belum tentu kau bangun.”  Tanya Zam hairan dengan perlakuan aku.  Aku tak mampu nak ceritakan apa yang terjadi pada aku pagi itu.

Habis ujian yang memang ‘membunuh’ masa depan aku, aku pulang ke bilik. Badan aku jadi lemah, aku tanyakan pada Zam. Dia tak sedar ke aku kejut semalam. Zam kata dia tak dengar langsung suara aku memanggil dia. Bila aku ceritakan semua yang terjadi malam itu, komentar Zam memang membuatkan aku rasa nak tikam diri sendiri.

“Yalah, kau kan tak pernah-pernah study malam, agaknya ‘makwe’ tu pun terkejut tengok kau study. Sebab tu dia gelakkan kau..”

Tapi ada benarnya kata-kata Zam itu. Aku memang spesies malas belajar, sebab pensyarah garang tu lah aku beria ulangkaji malam itu. Amboi, hantu pun pandai gelakkan orang rupanya ya…

**Pengalaman di atas diceritakan oleh seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Sham. Kisah tersebut dialaminya sewaktu bergelar pelajar dahulu.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bila nasihat tidak dihiraukan… Ayah sanggup tanam patung di kubur demi anak

“Aku cuma nak anak aku balik…” Itu luahan seorang ayah yang akhirnya menyesal seumur hidup selepas memilih jalan salah demi...

More Articles Like This