BANK Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tahap 3.00 peratus.
Keputusan tersebut dicapai menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) keempat tahun ini.
Dalam mesyuarat ketiga pada Mei lalu, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas pada tahap 3.00 peratus.
Sebelum itu, kadar faedah itu dikekalkan pada 2.75 peratus mulai November tahun lalu sehingga Mac lalu.
BNM dalam kenyataan memaklumkan, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.
Bank pusat itu berkata, MPC terus menilai bahawa risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan adalah terhad.
“MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa dan akan terus memantau data baharu bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, BNM berkata, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada bulan-bulan kebelakangan ini susulan pertumbuhan kukuh pada suku pertama lalu.
Katanya, keadaan itu ekoran eksport yang terjejas disebabkan permintaan luaran lebih perlahan seperti yang dijangka.
Menurut bank pusat, pertumbuhan bagi bulan-bulan seterusnya tahun ini terus didorong permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
“Perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan terutama dalam sektor berorientasikan dalam negeri.
“Ketibaan pelancong bertambah dengan stabil dan dijangka terus meningkat lantas menggiatkan aktiviti berkaitan pelancongan.
“Aktiviti pelaburan pula akan disokong projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan manakala keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan berikutan pertumbuhan kredit yang berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan:OPR naik 25 mata asas kepada 3 peratus
BNM memberitahu, inflasi keseluruhan akan terus menurun berikutan faktor kos yang lebih rendah.
Meskipun inflasi terus menjadi sederhana, BNM menjelaskan inflasi tersebut kekal tinggi berbanding purata jangka panjang ekoran faktor permintaan dan kos yang berlarutan.
“Inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi separuh kedua tahun 2023 diunjurkan lebih rendah namun pada amnya adalah mengikut jangkaan.
“Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh inflasi teras yang berlarutan, perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan,” katanya.
Mengenai ekonomi global, BNM menjangkakan ia terus berkembang didorong keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran yang teguh.
Bagaimanapun, bank pusat memberitahu, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan inflasi teras yang berlarutan dan kadar faedah lebih tinggi.
Katanya, meskipun pembukaan semula China terus menyokong ekonomi global, kadar pemulihannya menjadi perlahan pada bulan-bulan kebelakangan ini.
“Pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun namun inflasi teras masih melebihi purata yang dicatatkan sebelum ini.
“Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat.
“Prospek pertumbuhan terus bergantung kepada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan terutama disebabkan momentum ekonomi utama yang lebih perlahan, inflasi sebenar lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan menjadi ketat secara mendadak,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

