SUATU malam, tatkala penduduk pinggir bandar raya Tokyo sedang lena diulit mimpi, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara dengungan dahsyat dari bawah tanah.
Suara dengungan itu semakin lama semakin kuat dan berlaku gegaran luar biasa sehingga tanah di kawasan pinggir bandar raya itu merekah. Di sebalik rekahan tersebut, muncullah seekor raksasa aneh. Rupanya seakan dinosaur, setinggi bangunan pencakar langit, giginya tajam dan berekor panjang.
Raksasa aneh ini terus mengaum, mengeluarkan semburan api, terus mengamuk membinasakan apa sahaja di hadapannya. Habis bangunan pencakar langit dan kawasan perumahan pinggir bandar Tokyo dilibas dan dilanyaknya. Api dan asap menjulang ke udara.
Pasukan penyelamat ZAT (Zariba of All Terrestrial) yang berpangkalan di tengah bandar Tokyo telah mendapat amaran ancaman raksasa ini. Pasukan ZAT, badan khas yang ditubuhkan oleh pihak berkuasa Jepun untuk melindungi negara itu daripada serangan raksasa aneh.

Setelah mengenal pasti jenis raksasa, tiga buah jet pejuang dihantar untuk menghapuskan makhluk ini. Pesawat-pesawat tempur ini mempunyai ciri-ciri jentera pemusnah yang terbaik antaranya penembak laser, misil pemusnah serta torpedo.
Serangan bertubi-tubi dilakukan oleh tiga pesawat ini dari pelbagai penjuru, namun usaha mereka seakan sia-sia. Salah sebuah pesawat ZAT terkena libasan ekor makhluk aneh bernama Gojira ini dan debommmmm… terhempas ke bumi lalu meletup.
Pesawat malang itu dinaiki anak kapal bernama Katarou Higashi. Kapten Yuuta Asahina, semakin resah. Salah seorang anak kapalnya mungkin terbunuh dalam misi menghapuskan Gojira. Dia berdoa agar bantuan segera tiba untuk menghapuskan Gojira. Begitu juga halnya dengan penduduk Tokyo, semua berdoa agar hero muncul menyelamatkan mereka.
Selang beberapa minit kemudian, suatu lembaga kelihatan muncul dari dada langit, terbang menuju ke arah tempat amukan Gojira. Lembaga itu lengkap berpakaian sut merah berjalur putih terbang dengan kelajuan 20 Mach.
Matanya berwarna kuning, di tengah dadanya terletak sebuah butang berkelip-kelip berwarna biru. Saiznya hampir sama besar dengan Gojira, setinggi 53 meter tetapi lebih tegap. Lembaga besar bertanduk dua cabang ini bercekak pinggang dan sudah bersedia untuk menentang Gojira!

“Lihat, Ultraman Taro sudah tiba! Selamatkan kami Taro! Hapuskan Gojira!” begitulah jerit pekik penduduk. Ya, inilah Ultraman Taro, hero penyelamat penduduk di Tokyo yang ditunggu-tunggu oleh Kapten Yuuta Asahina.
Ultraman Taro terus memukul dan membelasah Gojira, tetapi gergasi aneh ini terus menyerang menggunakan tangan dan kukunya yang tajam. Zassss! Ultraman Taro terkena libasan ekor Gojira yang keras sehinggakan terpelanting menghempas bumi.
Tiba-tiba, lampu berwarna merah di dada Taro berkelip-kelip menandakan ia semakin lemah, petanda tenaganya beransur habis untuk menghapuskan Gojira.
Namun dalam keadaan genting itu, Ultraman Taro terus bangkit. Ultraman Taro terus menyilangkan tangannya dengan memberi serangan aura jarak jauh.
“Storium… Kohsen!” jerit Ultraman Taro. Tiba-tiba suatu cahaya terbit daripada tangan Ultraman Taro. Cahaya seperti laser itu tepat mengenai dada Gojira. Selepas beberapa saat, Gojira terhuyung-hayang, meliuk-lentok dan… gedebummmm!!
Sebaik saja Gojira meletup, Ultraman Taro terus terbang ke langit. Bandar Tokyo kembali tenang dan terselamat daripada ancaman raksasa Gojira.

Begitulah aksi mendebarkan siri Ultraman Taro, fiksyen sains kegemaran kanak-kanak sepanjang zaman. Ultraman Taro merupakan salah satu karakter hero yang dicipta dan ditayangkan pada tahun 1973. Karakter Ultraman Taro merupakan siri sambungan dari kisah lima beradik Ultraman terdahulu iaitu Ultraman, Ultra Seven, Ultraman Jack, Ultraman Ace dan Ultraman Zoy.
Selepas siri Ultraman Taro tamat pada tahun 1974, karakter Ultraman Leo, Ultraman Joe (Anime) dan Ultraman 80 pula menyusul pada tahun-tahun seterusnya.
Lapan Ultraman yang menjadi karakter super hero pada tahun 1970-an hingga tahun 1980-an ini berkisar pada era Showa di bawah pemerintahan Empayar Hirohito yang melaksanakan pemerintahan Totalitarianism.

Selepas era Heisei memerintah Jepun, produk yang dilahirkan oleh Tsuburaya Production ini semakin mendapat tempat di hati peminat di Jepun dan di seluruh dunia.
Ultraman Tiga, Gaia, Cosmos, Nexus, Nebius, Max dan Zearth pula muncul dalam siri yang diterbitkan oleh syarikat siri aksi daripada matahari terbit itu selepas tahun 1980-an.
Sebelum Ultraman, Tsuburaya Production telah menerbitkan siri televisyen berunsur serangan raksasa yang berjudul Ultra Q dan ditayangkan di televisyen pada 2 Januari hingga 2 Julai 1966.
Siri Ultra Q yang ditayangkan dalam hitam putih ini langsung tidak mengandungi karakter superhero gergasi menentang raksasa-raksasa yang menyerang bumi. Sepanjang 28 episod, hanya manusia yang menentang raksasa.
Selepas tamat siri Ultra Q yang mendapat sambutan yang menggalakkan, Eiji Tsuburaya telah mewujudkan karakter Ultraman Hayata (Ultraman) dan menyambung kontrak sepanjang 39 episod tayangan sirinya di stesen televisyen Tokyo Broadcasting System (TBS).
Ultraman, karakter fiksyen sains ini tinggal bersama komuniti yang dihuni dengan super hero ultra yang lain di ‘Land of Light’, Planet Nebula M78. Semasa berada di planet tempat tinggalnya, Ultraman merupakan seorang tenaga pengajar di Space University (Uchu Daiku), Planet Nebula.

Satu demi satu kejayaan dikecapi oleh Tsuburaya Production. Selain siri televisyen, Ultraman turut berjaya menjadi produk panggung wayang apabila banyak filem superhero Jepun itu ditayangkan di pawagam.
Pada Disember 2010, Tsuburaya Production menayangkan filem Ultraman Zero The Movie: Super Deciding Fight! The Belial Galactic Empire yang memperkenalkan watak baru dalam keluarga Ultraman iaitu Ultraman Zero, anak kepada Ultraseven!

Sejak itu, watak Ultraman juga semakin berkembang mengikut peredaran zaman menyaksikan kemunculan pelbagai watak baru seperti Ultraman Great, Ultraman Powered Zearth, Ultraman Tiga, Ultraman Dyna dan Ultraman Gaia, Ultraman Tiga, Ultraman Titas, Ultraman Fuma dan banyak lagi.
Biarpun sudah lebih lima dekad, produksi Ultraman ini terus berkembang dan menjadi salah satu perniagaan yang sangat menguntungkan dan masih relevan dengan peredaran zaman. Sambutan terhadap watak superhero Jepun ini tidak pernah pudar.
Sebenarnya, fenomena Ultraman ini hanyalah mainan imaginasi Eiji Tsuburaya, pencipta watak superhero penyelamat bumi ini. Ultraman berjaya mengkhayalkan kita supaya bersama-sama menghapuskan makhluk raksasa jahat yang mengancam bumi.


_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

