PARTI Amanah Negara (Amanah) Terengganu melahirkan rasa terkejut apabila Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.
Memetik laporan Sinar Harian Online, Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad memaklumkan, Mesyuarat Sekretariat Perpaduan Terengganu sebelum ini telah bersetuju memberi kerusi DUN Tepuh kepada parti berkenaan.
Menurut beliau, Amanah juga tidak pernah memulangkan semula kerusi DUN itu.
Ia seperti mana khabar angin mengatakan kononnya kerusi tersebut menjadi pertukaran untuk meletakkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar untuk bertanding di Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil (PRK).
“Kita tidak pernah memulangkan kembali kerusi DUN Tepuh kepada BN kerana ia telah dipersetujui bersama untuk diberikan kepada Amanah menerusi mesyuarat antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada Mei lalu.
“Saya sendiri pun tak pernah dengar dan tak diberitahu mengenai Nurul Izzah akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu kerana isu mengenai petisyen tempoh hari dikemukakan UMNO.
“Pada kita, mungkin juga kerusi bagi Parlimen itu diwakili calon mereka kerana mereka yang menang ke atas petisyen berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Raja Kamarul Bahrin berkata, beliau yakin kerusi tersebut milik Pakatan Harapan (PH), namun tidak boleh memberi pengesahan sama ada akan berlaku pertindihan kerusi dengan BN.
Baca artikel berkaitan: PRN: Amanah Negeri Sembilan kekal tanding 3 kerusi
Katanya, ini kerana Amanah akan mengumumkan calon untuk kesemua kerusi yang ditandingi dalam tempoh terdekat oleh Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu.
“Kalau nak tanya satu persatu saya boleh katakan dengan tepatnya setahu kita perjanjian terakhir antara kita dengan UMNO (PH dan BN) yang dipersetujui oleh UMNO adalah Tepuh diberikan kepada Amanah.
“Dalam isu ‘pemulangan’ kerusi ini sebenarnya tiada dan tidak berlaku kerana kita tidak ‘dirujuk’ langsung. Kita tak kata ada pertindihan, tapi tunggulah pengumuman presiden kita sehari dua lagi,” ujarnya.
Raja Bahrin yang juga Pengerusi PH Terengganu berkata, walaupun UMNO telah mengisytiharkan calon DUN Tepuh dari parti itu, masih boleh berlaku perubahan sebelum hari penamaan calon pada 29 Julai depan.
Pada PRU14 lalu, kerusi DUN Tepuh dimenangi calon Pas, Hismuddin Abdul Karim dengan memperoleh 10,728 undi menewaskan pesaingnya dari BN, Basir Ismail yang mendapat 8,065 undi sementara calon PKR, Wan Hafizie hilang deposit dengan mendapat 1,002 undi.
PRK Parlimen Kuala Terengganu pula diadakan selepas kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya atas dakwaan wujudnya unsur rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.
Pada PRU15 lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi pada PRU14 dengan majoriti 40,907 undi.
Dalam pertandingan empat penjuru itu, Ahmad Amzad memperoleh 63,026 undi; calon BN, Datuk Mohd Zuber Embong (22,109); Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad daripada PH mendapat 10,946 undi dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar, 481 undi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

