KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari amat berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang beraksi dengan semangat juang yang tinggi menentang Kuala Lumpur (KL) City FC bagi mempertahankan kejuaraan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Meskipun menang, jurulatih kelahiran Argentina itu berkata ia perlawanan yang sukar menentang pasukan yang hebat.
“Saya bangga kerana menjadi sebahagian dalam kelab besar ini, untuk memperoleh pencapaian seperti hari ini, ia bukan mudah. Ia adalah perlawanan yang sukar menentang pasukan yang hebat seperti KL City dan kami tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.
“Namun, kami enggan berhenti dan terus menyerang dan cuba menjaringkan gol, dan akhirnya pemain mempamerkan keazaman untuk mereka mempertahankan piala itu,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Beliau turut memuji pemain tengah Nathaniel Shio Hong Wan yang menghasilkan gol pertamanya untuk kelab dan penyerang import dari Argentina Leandro Sebastian Velazquez yang mencetak gol pada separuh masa kedua bagi JDT meraih kemenangan.
Solari berkata penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed turut memainkan peranan penting dalam menjaga gawang dengan baik sekali gus membuktikan kemampuannya pada perlawanan berkenaan.
Baca artikel berkaitan: Johor umum cuti hari ini selepas JDT muncul juara Piala FA
Pasukan Harimau Selatan menewaskan KL City 2-0 bagi mempertahankan kejuaraan Piala FA, yang dimenangi tahun lepas dan 2016.
Beliau berkata skuad berkenaan akan cuba mengekalkan rekod tanpa kalah apabila bertemu Selangor FC dalam perlawanan Liga Super seterusnya pada 29 Julai ini.
Sementara itu, pengendali KL City FC Bojan Hodak mengakui bahawa mereka tewas kepada pasukan berkualiti, namun beliau memuji semangat anak buahnya yang tidak berputus asa untuk terus memberi asakan.
“Kami berjaya meletakkan JDT di bawah tekanan pada separuh masa pertama.
“Namun, gol Nathaniel pada separuh masa kedua memberi tekanan kepada kami dan semua pemain mula hilang tumpuan selepas Leandro Velazquez menjaringkan gol kedua,” katanya.
Kemenangan JDT turut melebarkan rekod tanpa kalah pasukan itu dalam mana-mana pertandingan domestik musim ini dengan berjaya mencatat 17 kemenangan berturut-turut dalam kempen Liga Super.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

