Dua lelaki tunggang motosikal secara berbahaya ditahan

Dari Penulis

Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan menunggang motosikal secara berbahaya di KM329 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Tapah seperti video yang tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kedua-duanya yang berusia 19 dan 21 tahun serta beralamat di Tanjung Tualang, Batu Gajah ditahan pada 11 pagi semalam.

Beliau berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah telah mengesan satu video berdurasi satu minit tiga saat yang dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook menerusi halaman ‘Dashcam CCTV Malaysia’ dan ‘Kementerian Netizen Malaysia’ berkaitan beberapa penunggang motosikal melakukan aksi menunduk dan meniarap di atas motosikal mereka.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 1.47 tengah hari kelmarin yang dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang ketika itu dalam perjalanan dari Tanjung Malim ke Ipoh.

“Polis telah pergi ke alamat berasingan di Tanjung Tualang dan menemukan dua lelaki yang bekerja sebagai penyenggara mesin sawit dan juruteknik serta mereka mengaku menunggang motosikal terbabit seperti  video yang tular,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mohd Yusri berkata pihaknya turut merampas motosikal yang digunakan semasa kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi bagi membanteras sepenuhnya isu samseng jalanan dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya ditetapkan.

— BERNAMA

Monday , 24 July 2023


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Harga diesel turun 30 sen seliter minggu ini

HARGA diesel di Semenanjung diturunkan 30 sen seliter bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun ini. Kementerian Kewangan dalam kenyataan...

More Articles Like This