SERAMAI 12 individu termasuk tiga anggota bomba cedera dalam kejadian sebuah kren terbakar terjatuh ke jalan dekat Manhattan, New York pada 7.30 pagi semalam.
Memetik laporan CBS News, kebakaran berlaku di tingkat 45 sebuah bangunan pangsapuri di 10th Avenue antara jalan West 41st dan 42nd di Hell’s Kitchen yang sedang dalam proses pembinaan.
Sebuah pam konkrit juga terhempas ke atas jalan sewaktu kejadian tersebut berlaku.
Menerusi rakaman video tular dapat dilihat kren tersebut runtuh dan menghentam bangunan pencakar langit di seberang jalan sebelum jatuh ke atas jalan raya.
Pegawai Tinggi Perbandaran memaklumkan kebakaran dipercayai berpunca daripada cecair hidraulik yang bocor yang terkena pada plat panas berhampiran enjin kren.
Insiden ini dilihat sebagai kejadian yang tidak disengajakan dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
Jabatan Bangunan memaklumkan pemeriksaan awal terhadap kren, bangunan dalam pembinaan dan bangunan di sekitar lokasi masih dalam keadaan stabil dan tidak runtuh akibat kejadian itu.
Sementara itu Jabatan Bomba New York memaklumkan kebakaran bermula di ruang enjin ketika pengendali kren sedang mengangkat bahan konkrit ke tingkat 36.
“Pengendali kren cuba memadamkan api dengan menggunakan alat pemadam kebakaran namun api semakin merebak,” katanya.
Timbalan Pesuruhjaya Pertama Joseph W. Pfeifer berkata, ketika kejadian kren tersebut sedang mengangkat bebanan 16 tan konkrit.
“Pengendali kren telah melihat api dan cuba berusaha memadamkannya.
“Bagaimanapun api semakin mengampiri pengedali kren dan beliau terpaksa keluar menyelamatkan diri,” ujarnya.
Kata Pfeifer lagi berlaku kesukaran dalam mendapatkan bekalan air ketika memadamkan api kerana kebakaran berlaku di tempat yang tinggi.
Seramai 200 anggota bomba dan petugas kecemasan dikerahkan ke lokasi kejadian.
Difahamkan runtuhan kren itu telah memecahkan tingkap bangunan dan serpihan kaca terjatuh ke jalan raya lalu mencederakan orang awam yang berada di lokasi tersebut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

