BEKAS Exco Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mengumumkan keluar daripada UMNO dan menyertai Perikatan Nasional (PN) berkuatkuasa hari ini.
Perkara itu diumumkan Muhamad Muqharabbin dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai itu menegaskan, penyertaan ke PN kerana mendakwa perjuangannya selama berada dalam UMNO sebagai sia-sia.
Kata beliau, ia kerana beberapa mesyuarat penting sebelum ini sebagai Exco Pemuda UMNO menekankan ‘No Anwar, No DAP’.
Malah, katanya segelintir pemimpin UMNO telah merosakkan segala usaha yang dibina termasuk Muafakat Nasional (MN).
“Apa guna mesyuarat tiap-tiap bulan akhirnya ditipu hidup-hidup dan diperbodohkan.
“Saya lebih percaya kepada kekuatan MN yang sewajarnya menerajui negara tetapi apakan daya, segelintir pemimpin UMNO telah merosakkan segala usaha yang dibina,” katanya dalam hantaran tersebut.
Mengulas lanjut, Muhamad Muqharabbin menegaskan, beliau memilih menyertai PN selepas hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) supaya rakyat tahu bahawa bukanlah seorang yang mengejar jawatan atau menjadi calon.
Baca artikel berkaitan: Datuk Muhamad Muqharabbin letak jawatan Exco Pemuda UMNO hari ini
Sebaliknya, katanya, beliau ingin memperkukuhkan penyatuan bangsa Melayu.
“Kalau saya kejar jawatan, buat apa saya keluar UMNO? Kan UMNO bersama kerajaan kini? Lagi senang saya ikut kerajaan.
“Jadi tak perlu nak menambah dosa fitnah-fitnah jahat cybertrooper dan orang yang tidak mengenali saya menuduh yang bukan-bukan.
“Susah nanti nak jumpa saya di akhirat. Lagi pun saya hanya keluar parti dengan baik, bukan keluar Islam.
“Jadi, saya pesan, jadilah orang yang memperjuangkan Islam dan orang Melayu yang beradab serta bermaruah,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi sekeping gambar bersama pimpinan tertinggi PN.
Dalam gambar itu, beliau bersama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Turut kelihatan dalam gambar itu adalah Ketua Pesuruhjaya PAS Lembah Pantai, Fauzi Abu Bakar.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

