BEBERAPA foto yang dikongsi oleh pelakon Diana Danielle di akaun Instagram miliknya menarik perhatian netizen sehingga mengundang kritikan ramai.
Ia gara-gara sekeping foto yang memperlihatkan Diana atau Diana Danielle Beeson,32, memegang tangan seseorang selain pakaiannya yang tidak berlengan hingga menjadi pertikaian warganet yang dikatakan tidak menghormati tempoh edah selepas bercerai dengan pelakon dan pengarah Farid Kamil pada 10 Ogos lalu.
“You’re on a date with me (kamu sedang ‘dating’ dengan saya),” tulis kapsyen di foto berkenaan.
Menerusi ruangan komen, rata-rata pengikutnya meninggalkan pesanan kepada Diana untuk menjaga edah dengan tidak keluar rumah tanpa tujuan.
Malah, mereka juga memberi nasihat agar tidak terlalu mendedahkan aurat sepanjang tempoh terbabit.
“Jaga edah, kita ni orang Islam.
“Orang perempuan kena jaga edah selepas bercerai. Akhir zaman wanita tak rasa lagi malu bila diceraikan malah bangga,” komen netizen.
Perkongsian gambar Diana yang memegang tangan rakan wanitanya tanpa mendedahkan identitinya telah membangkitkan pertikaian ramai di ruangan komen sehingga ada yang menyangka pelakon Imaginur itu sedang ‘dating’ dengan teman lelaki baharu.
Terdahulu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson sah bercerai talak satu dengan Farid secara atas talian (online) di aplikasi Google Meet di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Kemelut rumah tangga pasangan yang berkahwin selama 11 tahun ini mula tercetus selepas Diana memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Mac lalu.
Diana mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan yang berpanjangan selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk perceraian itu.
Pasangan Farid dan Diana bernikah pada 3 November 2012 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

