MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan seorang lelaki atas tuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam kejadian kebakaran pada 2017.
Tiga panel hakim dipengerusikan Datuk Abu Bakar Jais, yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun, memutuskan demikian secara sebulat suara.
Hakim Che Mohd Ruzima ketika membaca penghakiman berkata, panel hakim menolak rayuan pihak pendakwaan itu selepas mereka gagal menutup ruang dan keraguan terhadap hujah mereka bahawa lelaki itu memasuki dan membakar tahfiz berkenaan bersama-sama seorang lagi ketika kejadian.
“Kami sebulat suara mendapati dan memutuskan tiada sebab untuk mengubah keputusan hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini.
“Keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan pesalah kanak-kanak kedua (PKK2) daripada kesemua 23 pertuduhan di akhir kes pendakwaan adalah tepat dari segi fakta dan undang-undang.
“Oleh itu rayuan pendakwaan adalah tidak
bermerit dan seharusnya ditolak. Keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya ketika membaca penghakiman, pagi ini.
Sebelum ini pada 11 Mei lalu, pendakwaan memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah tidak mungkin dilakukan secara seorang diri.
Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling dalam hujahannya berkata, perkara itu mustahil apabila dua tong gas masing-masing seberat 14 kilogram diangkat dari tingkat bawah ke tingkat dua asrama tahfiz berkenaan.
Selain perlu mempertimbangkan berat tong gas itu katanya, tempoh masa yang diambil oleh dua orang remaja selepas memasuki sehingga keluar dari asrama itu dalam masa 18 minit juga menjadi hujahan utama.

Pendakwaan turut menegaskan bahawa keadaan saiz dawai pagar tahfiz yang terkuak untuk dimasuki oleh pelaku hanya boleh dimasuki oleh PKK2 berbanding dua lagi rakannya yang berbadan agak besar.
Sementara itu Mahkamah sama turut mengekalkan sabitan dan hukuman penjara seorang lagi lelaki berusia 22 tahun selaku pesalah kanak-kanak satu (PKK1) atas pertuduhan membunuh 23 penghuni tahfiz berkenaan.
Sebelum ini pada 17 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara selama tempoh mengikut perkenan Yang di-Pertuan Agong ke atas lelaki terbabit selain melepas dan membebaskan PKK2.
Panel tiga Hakim yang sama secara sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas lelaki itu selepas mendapati keputusan Mahkamah Tinggi adalah selamat dan harus dikekalkan.
“Mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kami (panel hakim) bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa keterangan ikut keadaan dikemukakan pendakwaan adalah kuat.
“Ia hanya menuding kepada satu arah iaitu PKK1 memanjat belakang pagar belakang sekolah tahfiz bersama seorang lagi tidak dapat dikenali untuk memulakan kebakaran sekolah tahfiz menyebabkan 23 terkorban,” ulas Hakim Che Mohd Ruzima.
Sejak perbicaran kes ini bermula pada 30 Mei 2018, pihak pendakwaan telah memanggil seramai 71 saksi manakala pembelaan memanggil seramai enam orang saksi.
Seramai 23 penghuni yang membabitkan pelajar dan dua guru pusat tahfiz terkorban dalam tragedi kebakaran menyayat hati pada 14 September 2017.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.
Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kedua-dua lelaki itu yang berusia 16 tahun ketika kejadian tidak berdepan hukuman mati kerana pesalah di bawah umur 18 tahun.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

