“Sudah tentu ramai yang mendekati tapi saya minta maaf sebab saya masih belum bersedia”
DEMIKIAN tegas pelakon Sophia Albarakbah sebaik ditanya mengenai percubaan mana-mana jejaka yang ingin mnedekatinya sebaik dia mengesahkan sudah tiada cinta lagi dengan lelaki dikenali ‘Mr Doktor’ terlerai baru-baru ini.
Sophia,30, tidak menafikan ada menerima banyak mesej langsung (DM) di media sosial terutamanya lelaki yang ingin berkawan dengannya.
“Patah hati bukan sesuatu yang menyeronokkan jadi saya tidak mahu melalui fasa itu lagi.
“Ia sangat menyakitkan,” katanya kepada URTV.
Sophia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media siri terbaharu Viu Original, From Saga With Love.
Justeru, pelakon Ku Akad Kau Dengan Bismillah itu meletakkan sepenuh fokusnya kepada karier seni kerana enggan lagi terjebak dengan percintaan buat sementara waktu.
“Fokus saya adalah 100 peratus untuk diri sendiri dan kerjaya. Dari segi hubungan cinta, saya belum bersedia lagi.
“Tak nak kenal dengan sesiapa pun. Pintu hati saya dah tutup sepenuhnya.
“Banyak perkara peribadi yang berlaku. Buat masa ini, saya tidak mahu terikat dengan mana-mana hubungan cinta.
“Memang 100 peratus kerja…saya nak fokus pada kerjaya saja sekarang,” ujarnya.
Sophia bersyukur mempunyai sistem sokongan seperti keluarga, adik-beradik, rakan baik yang sentiasa ada ketika dia melalui waktu sukar.
Bagaimanapun, Sophia tidak bermusuh dengan bekas kekasih, malah mereka masih lagi berkawan seperti biasa.
“Kami masih berkawan. Kalau saya rasa nak berkongsi sesuatu dengan dia, okay saja.
“Tapi saya masih ada adik-beradik dan rakan-rakan untuk berkongsi cerita dengan mereka,” jelasnya.
Seronok bawa watak Bianca Rozario, keluar dari zon selesa
Berbicara tentang perkembangan terkininya pula, Sophia akui teruja membawakan watak Bianca Rozario iaitu seorang pempengaruh dan selebriti terkenal yang mahu mencapai cita-cita sebagai penerbit.
“Selalunya saya akan diberikan watak seorang wanita teraniaya, watak air mata. Tapi kali ini saya diberikan watak yang sangat ‘fun’ dan berbeza dengan watak-watak yang pernah saya bawa sebelum ini.
“Lokasi penggambaran di Saga, Jepun. Ia merupakan pengalaman pertama saya menjejakkan kaki di negara tersebut. Watak Bianca sangat menghiburkan.
“Cabaran bekerja bersama produksi Malaysia dan Jepun ialah kita kena kejar masa. Pukul 5 pagi kami dah mula bekerja sebab dekat sana dah terang.
“Nak kejar masa sebab nak bergerak ke satu lokasi ke lokasi tu agak jauh dan ambil masa lama untuk sampai. Tapi saya sangat seronok dapat jadi sebahagian daripada pelakon untuk drama siri ini,” kongsinya.
Selain Sophia, From Saga With Love yang diarah Umi Salwana Omar turut menampilkan Siti Khadijah Halim, Ikmal Amry, Fimie Don, Vanidah Imran, Sharifah Amani dan Riezman Khuzaimi.
Drama 10 episod bergenre romantik komedi itu akan menemui penonton bermula hari ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

