SEORANG pekerja restoran dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menghendap seorang pembaca berita menerusi media sosial dan secara fizikal, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Azhari @ Azari Abd Rahman, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan pengintaian terhadap Ainaa Kamalia Jamaludin, 31, dengan menghantar mesej di media sosial dan ke tempat kerja mangsa berulang kali.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat AwesomeTV, Menara Bank Rakyat di Brieckfields, Kuala Lumpur sekitar jam 4 petang pada 17 September lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sejurus pertuduhan itu dibacakan, Muhammad Azhari yang berada di dalam kandang tertuduh beberapa kali mengatakan dia sekadar mahu berjumpa dengan mangsa.
Mendengar kata-kata tertuduh itu, Majistret Atiqah kemudian menegur lelaki berkenaan “kamu ada peguam, biar peguam kamu yang bercakap untuk kamu”.
Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Muhammad Sapri Yaakub menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 ke atas tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Zaidi Othman memaklumkan mahkamah bahawa ahli keluarga tertuduh tidak berhasrat untuk menjamin tertuduh dan memohon agar lelaki itu mendapatkan penilaian kesihatan mental.
“Tertuduh pernah didaftarkan untuk mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Kuala Lumpur dan hospital ada rekod nama tertuduh di dalam sistem. Namun dia tidak pernah menghadirkan diri.
“Kami belum mendapatkan rekod daripada hospital berkenaan. Mohon satu tarikh singkat untuk kami dapatkan rekod kesihatan mental tertuduh terlebih dahulu,” kata peguam itu.
Majistret Nur Atiqah kemudian tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh selain menetapkan 6 Oktober depan bagi serahan rekod kesihatan psikiatri dari Hospital Kuala Lumpur.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

