PAKATAN Harapan (PH) disifatkan perlu bertanggungjawab jika Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Itu kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu seperti dilapor Sinar Harian Online, hari ini.
Menurut Mohamad, jentera PH bertanggungjawab demi memastikan kemenangan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam di PRK Pelangai, 7 Oktober ini.
Beliau berkata, ini kerana BN telah membantu PH mencapai kemenangan dalam PRK di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai, baru-baru ini.
“Soal perpaduan dan kemenangan ini penting. Saya sebut dalam kempen di Simpang Jeram dan Pulai kalau PH kalah, BN bertanggungjawab.
“Jadi, kalau PRK di sini BN kalah, PH bertanggungjawab.
“Oleh itu ketua pemuda (PH) kena kerja kuat, pastikan yang mengundi PH tu semuanya akan mengundi BN. Ketuk rumah.
“Yang dulu mengundi PH, orang Cina jangan cari roket, jangan cari simbol PH. Kali ini dacing. kamu suka tak suka, kena undi dacing,” katanya ketika berucap pada Progam ‘Sembang Santai Perpaduan’ di Bilik Gerakan Simpang Pelangai, semalam.
Baca artikel berkaitan: ‘Pelangai Gateway’ visi Amizar untuk tingkat sosioekonomi masyarakat
Sementara itu, Mohamad turut menaruh keyakinan bahawa sokongan orang Melayu kepada PH dan BN telah mula kembali.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu memaklumkan, orang Melayu sebelum ini meninggalkan UMNO dan PH kerana sentimen yang ditanam bahawa Islam terancam kerana bekerjasama dengan DAP.
“Kalau menang di Pelangai, insya-ALLAH menang di Kemaman,” katanya.
Amizar, 50, yang merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong bakal berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli pada PRK DUN Pelangai.
PRK Pelangai, yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pahang, diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.
Pada PRU15, Johari yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim (PN), Ahmed Wafiuddin daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon Pejuang Isa Ahmad.
Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 adalah BN dan PN masing-masing mendapat 17 kerusi manakala PH menang lapan kerusi. Kerajaan Pahang terbentuk dengan kerjasama BN dan PH.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

