KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris yang dilakukan di sekitar ibu negara.
Menurut Pengarahnya, Ariffin Samsudin, pihaknya telah melakukan risikan selama tiga minggu sebelum menyerbu sebuah premis dipercayai stor haram di Lot 5504, Jalan Pasir Baru pada Rabu lalu.
Jelas beliau, tindakan serbuan itu dilakukan selepas beberapa buah lori bonded dan kanvas berkapasiti 1, 3 dan 5 tan berulang kali membeli diesel di stesen minyak di sekitar Jalan Klang Lama.

Ariffin berkata, hasil risikan mendapati diesel yang dibeli dikumpulkan di stor haram tersebut sebelum dipindangkan ke sebuah lori kontena 20 tan dan dihantar ke luar kawasan Wilayah Persekutuan.
“Lori jenis kontena 20 kaki telah disita kerana membawa muatan cecair disyaki diesel dalam flexi bag berjumlah 24,000 liter dengan anggaran nilai sebanyak RM56,400.
“Pemeriksaan lanjut pasukan serbuan di lokasi telah menemui tiga buah skid tank yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyimpanan diesel dengan hos penyambung di setiap skid tank dan pam bermeter turut ditemui.
“Bagaimanapun hanya sebuah skid tank sahaja mengandungi cecair disyaki diesel dianggarkan berjumlah 4,073 liter dengan nilai sebanyak RM9,571, menjadikan nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM120,966,” katanya dalam sidang akhbar pagi tadi.

Baca juga: Sindiket seleweng diesel lumpuh, 15 pekerja perkapalan ditahan
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, sebanyak empat warganegara tempatan ditahan pada operasi tersebut bagi tujuan siasatan.
Beliau berkata, dua daripadanya merupakan pekerja di stor tersebut, manakala masing-masing seorang pemandu lori dan seorang lagi dipercayai pemilik stor haram terbabit.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urusniaga barang kawalan iaitu diesel tanpa memiliki lesen yang sah, selain disyaki menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.
Sementara itu beliau berkata, rampasan kedua dilakukan pada Khamis apabila pihaknya menerima serahan kes daripada pihak polis melibatkan sebuah lori jenis Nissan yang telah ditahan di hentian rehat dan rawat Kinrara apabila berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, seorang lelaki warganegara yang merupakan pemandu lori tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut dilakukan, terdapat empat buah IBC tank dengan hos penyambung dan pam bermeter terdapat di bahagian belakang lori tersebut dengan muatan cecair disyaki diesel.
Jelas beliau, pihaknya telah menyita lori jenis Nissan terbabit bersama empat buah IBC tank dan cecair disyaki diesel dianggarkan berjumlah 1,000 liter dengan nilai sebanyak RM2,350.
“Nilai keseluruhan barang rampasan bagi serbuan kedua dianggarkan berjumlah RM32,950 dan Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urusniaga barang kawalan tanpa memiliki lesen atau permit yang sah,” ujarnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

