PELAKON Sharifah Amani berkongsi hidupnya kini berubah sepenuhnya sejak bergelar seorang isteri kepada Ahmed Faris Amir sejak setahun lalu.
Menurut Sharifah Amani atau lebih mesra disapa Nani itu, dia bersyukur dan bahagia bersama suaminya yang baginya sudah melengkapi dan menyempurnakan hidupnya.
“Saya sangat bahagia sekarang. Alhamdulillah, selepas setahun kahwin, hidup saya sekarang sudah banyak berubah sepenuhnya dan banyak yang saya pelajari bukan sahaja tentang dia malah tengang diri saya juga.
“Saya bersyukur sangat sebab dia bijak, kelakar dan mempunyai nilai seorang individu yang saya hormati. Sejujurnya, dia beri saya ketenangan yang saya perlukan,” ujarnya kepada URTV.
Ketika disoal tentang cahaya mata, Nani tidak menolak atau memikirkan kerana baginya rezeki itu bergantung kepada Tuhan.
“Kalau ada rezeki, saya okay sahaja. Namun perkara begini semua bergantung kepada rezeki dan saya tidak menolak mahupun memikirkan sangat,” katanya.
Nani ketika ditemui di tayangan perdana filem La Luna juga berkongsi dia menjadikan ibunya, Fatimah Abu Bakar sebagai rujukan terbaik untuk nenguruskan rumah tangga.
“Sudah semestinya saya tengok mama adalah contoh terbaik sebagai seorang isteri. Insya-Allah, saya mahukan hubungan yang sama seperti mama dan papa ada,” tambahnya.
Bercakap mengenai perkahwinannya, Nani juga bersyukur pihak produksi memintanya memotong rambut selepas majlis perkahwinannya.
“Nasib baik rambut kena potong selepas majlis kahwin, kalau tak habis la.” katanya sambil ketawa.
Menurut Nani filem La Luna ini ialah sebuah idea segar dan baharu yang mampu membuka minda setiap penonton yang menonton.
“Saya sangat gembira dengan naskah ini kerana bagi saya La Luna ialah sebuah nafas baru yang bukan sahaja beri nilai jenaka malah beri lapisan mesej yang tersirat,” ujarnya.
Selain Nani, La Luna turut dibintangi Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron, Farah Ahmad, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Wafiy Ilhan.
Filem La Luna ialah sebuah filem arahan pengarah Singapura, Raihan Halim yang mengangkat tema cinta dan ‘perubahan masa’. La Luna akan menemui penonton bermula 9 November ini.

