JUMLAH kes demam denggi meningkat 10 kes atau 0.4 peratus kepada 2,272 kes pada Minggu Epidemiologi ke-43 (ME43) iaitu bagi tempoh 22 Okt hingga 28 Okt, berbanding 2,262 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME43.
Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi yang dicatatkan setakat ini adalah sebanyak 98,715 kes berbanding 49,569 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 49,146 kes atau 99.1 peratus.
“Sejumlah 73 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 33 kematian bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya.
Bilangan lokaliti hotspot pula menurun kepada 68 lokaliti berbanding 73 lokaliti pada minggu sebelumnya, dengan 49 lokaliti di Selangor, sembilan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, enam di Perak dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Pahang dan Sarawak.
Mengenai survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata, sebanyak empat kes chikungunya direkodkan pada ME43, menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini 181 kes.
Bagi survelan zika, sebanyak 2,982 sampel darah dan 301 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif, katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

