SEORANG pembantu tadbir kewangan didenda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung permohonan khidmat sajian bagi dua program di Kementerian Pertahanan antara Februari sehingga Mac tahun lalu.
Hakim Rozina Ayob mengenakan hukuman itu selepas tertuduh, Norshuhada Ismail, 35, mengaku bersalah.
Wanita itu turut diarahkan agar dihukum penjara selama 30 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Rozina sempat menasihati tertuduh bahawa dia sepatutnya menjadi teladan kepada anak-anaknya.
“Mahkamah beri peluang terakhir untuk kamu. Kamu sepatutnya menjadi teladan kepada anak-anak. Kamu faham?” kata hakim itu.
Norshuhada yang berada di dalam kandang tertuduh sekadar menjawab ‘ya… faham,’ dalam nada perlahan.
Mengikut kertas pertuduhan, ibu tiga anak itu didakwa bersubahat dengan Pengurus Syarikat Mieza Jaya Global Enterprise, Nordin Yaakop, 59, sebagai ejen kepada Kementerian Pertahanan dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Kertas Kerja bagi Permohonan Perkhidmatan Sajian bagi Kursus Bijak Urus Wang pada 28 Februari 2022 hingga 3 Mac 2022 dan Bengkel Memperkasakan Modal Insan pada 14 Mac 2022 hingga 17 Mac 2022 berjumlah RM15,776.
Kesalahan itu dilakukan di pejabat Pusat Tanggungjawab (PTJ) Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur antara Februari hingga Mac 2022.
Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Norshuhada yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon agar tidak dijatuhkan hukuman penjara memandangkan menanggung keluarga termasuk tiga anak masing-masing berusia satu tahun, enam tahun dan 11 tahun.
“Saya telah insaf dan menyesal atas kesalahan saya. Saya juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama. Saya memohon agar mahkamah mengenakan denda dalam jumlah lingkungan RM20,000 sehingga RM25,000,” rayunya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pemcegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqah Ab Razak memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh memandangkan jawatannya selaku penjawat awam disifatkan mulia dan tidak harus tercemar oleh unsur jenayah.
“Kes ini melibatkan penjawat awam, selaku pembantu tadbir kewangan yang turut melibatkan maruah dan integriti kerjaya itu.
“Penggunaan dokumen palsu adalah sikap tamak haloba tertuduh. Mohon mahkamah mempertimbangkan faktor kepentingan awam
melebihi kepentingan peribadi tertuduh.
“Oleh itu, kami memohon hukuman setimpal. Namun pendakwaan tidak membantah permohonan jumlah denda yang dipohon tertuduh,” hujahnya.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

