“FITNAH yang guna serban tidak sah dan saya bantah sekeras-kerasnya.”
Itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang membuat dakwaan mengaitkan beliau dengan Israel.
Ia susulan tindakan didakwa dilakukan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) yang mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Malaysia di bawah Anwar ragu-ragu sokong Palestin?’ dalam sebuah portal media.
Perdana Menteri turut menyifatkan perbuatan tersebut sebagai biadab dan kurang ajar.
“Di bawah pentadbiran saya, dengar ya supaya jangan Ketua Dewan Ulama guna Harakah kaitkan saya dengan Israel. Itu kenyataan biadab yang melanggar tatasusila.
“Kalau diulang saya akan ambil tindakan keras terhadap sesiapa yang menggunakannya.
“Ini yang saya sebut membina mahligai atas pusara orang mati… kita kerja setiap hari, bawa kes ini, minta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adakan sidang, bawa China, Russia, Brazil, Ireland, Bolivia, bincang dengan Jepun, dengan (Mark) Rutte (Perdana Menteri Belanda) Netherlands (Belanda) dan minggu ini dgn Naib Presiden China tapi sewenang-wenang beri hukuman biadab dan kurang ajar,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah pendirian kerajaan berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-Undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas untuk mengenakan sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas serta pergerakan Jihad Islam Palestin.
Baca artikel berkaitan: Malaysia tak iktiraf keputusan AS sekatan unilateral – PM
Sementara itu, Ahmad membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 dengan meminta Perdana Menteri menarik semula perkataan biadab dan kurang ajar yang ditujukan kepadanya.
Ahmad menyifatkan kenyataan itu sebagai persoalan dan bukan tuduhan.
Melalui laporan itu juga, terdapat gambar Perdana Menteri yang berlatarbelakangkan bendera Israel.
Howard Lee (PH-Ipoh Timor) kemudiannya mencelah dengan menyatakan peraturan mesyuarat itu hanya terpakai untuk ahli dewan sahaja.
Perdana Menteri kemudian bangkit menjelaskan yang beliau marah terhadap paparan gambar berlatarbelakangkan bendera Israel dan ia perlu diperbetulkan Harakah.
“Mengapa saya marah? Gambar saya dibelakangnya bendera Israel, YB harus faham yang YB juga keras dan marah dengan Israel, sayapun begitu. Tidak apa hendak tegur, hendak marah, kritik saya dalam soal lain saya terima dengan baik.. tetapi dalam hal ini, jangan.
“Jika penjelasan dibuat itu, saya ucapkan terima kasih dan kita boleh bergerak ke depan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

