KERAJAAN tidak mengiktiraf mana-mana keputusan yang dibuat oleh mana-mana negara termasuk Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan sekatan secara unilateral.
Ia susulan keputusan Dewan Perwakilan Rakyat AS yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas pada 1 November lalu.
RUU tersebut bertujuan mengenakan sekatan-sekatan seperti saluran kewangan kepada individu, agensi atau kerajaan asing yang memberi sokongan kepada Hamas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia hanya mengiktiraf keputusan yang dibuat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara multilateral.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, keputusan itu juga tidak mempengaruhi dasar dan keputusan Malaysia.
“Kita tak bersetuju dengan cara dibuat AS dan keduanya ia tak mempengaruhi dasar dan keputusan kita.
“Semalam saya menghubungi beberapa sahabat dan negara Islam yang memberikan pendirian sama… sebab itu hubungan dengan Hamas kita teruskan dulu dan sekarang serta tidak menganggap dan menghukum mereka sebagai pengganas,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Hanya teruskan kontrak, tiada peruntukan baharu promosi kerajaan MADANI – PM
Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah pendirian kerajaan berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-Undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas untuk mengenakan sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas serta pergerakan Jihad Islam Palestin.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, walaupun Malaysia tidak boleh mengheret kes itu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana tidak memperakui Statut Rom, tetapi kerajaan akan memberi sokongan kepada mana-mana negara yang akan membawa kes tersebut.
“Kita beri perbandingan serta rasional yang jelas seperti mana juga Nelson Mandela dan African Nation Congress (ANC) yang dijajah melalui apartheid.
“Di Palestin, (mereka) dijajah dengan apartheid, pembasmian etnik dan sekarang dengan genosid. Apa yang berlaku adalah hak sah perjuangan rakyat Palestin. Itu jadi dasar kita,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

