PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhasrat untuk menjadi sebuah parti politik bagi abad ke-21 dalam memastikan ia kekal relevan buat tempoh masa yang panjang.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan parti itu tidak boleh lagi ‘terikat’ dengan lingkungan situasi dan isu untuk dua ke tiga tahun.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, parti itu mesti mengambil kira perkembangan semasa teknologi, pemikiran dan pengetahuan melangkaui bukan sahaja kampung, daerah serta negeri tetapi juga ke peringkat antarabangsa.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, isu yang dibawa parti itu juga seharusnya lebih meluas melibatkan isu antarabangsa yang membawa kesan kepada Malaysia.
Justeru, beliau melihat Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali keenam yang akan membuka tirai Khamis ini memberi ruang kepada parti itu menggunakan kesempatan yang ada membahaskan perkara sedemikian.
“Kita mahu menjadi parti yang mewakili Malaysia dan bangsa Melayu untuk abad ke-21.
“Sebagai sebuah parti politik, (kita) bukan sahaja nak memimpin (tapi) mahu membangkitkan kesedaran. (Rakyat) nak tahu nasib mereka terutama orang Melayu yang makin lama makin terdesak kerana hidup makin susah,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama UtusanTV, baru-baru ini.
Baca artikel berkaitan: Pas sudah ‘tepu’ sebelum bersama PN – Muhyiddin
Mengulas mengenai PAT keenam Bersatu yang akan diadakan di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), Shah Alam, Muhyiddin berkata, pelbagai usul akan dibangkitkan termasuk melibatkan isu kekejaman rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
Lebih penting, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Bersatu juga akan meneliti semula peristiwa yang telah berlaku terutama dalam tempoh setahun lalu.
Katanya, parti itu akan menilai semula pencapaian atau kelemahan dengan tujuan menjadikannya lebih kukuh, mantap dan berkesan selepas ini.
“Tak dapat dielakkan pastinya untuk kita menilai prestasi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) kerana PRU-15 sebelum ini merupakan satu pencapaian besar dalam rekod Bersatu sejak tertubuh.
“Kita menang 31 kerusi Parlimen (sebelum peralihan sokongan empat ahli Parlimen) dan gabungan kita dengan Pas pula telah menjadikan kita antara parti politik terbesar yang mewakili rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.
“Daripada rekod pencapaian, Pas memperoleh 43 kerusi. Ini satu yang kita akan bicarakan dengan kita sudah pun melakukan post-mortem bagi menilai kekuatan dan kelemahan kita – di negeri mana atau tempat mana,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

