HASRAT dua penduduk Palestin untuk pulang ke rumah mereka di utara Gaza semasa tempoh jeda kemanusiaan yang bermula pada Jumaat tidak kesampaian apabila mereka ditembak mati tentera Israel pagi ini.
Menurut saksi, mangsa, Zakaria Shantaf, 26, manakala seorang lagi belum dikenal pasti ditembak mati di Bandaraya Gaza ketika pelaksanaan jeda kemanusiaan selama empat hari yang bermula pukul 7 pagi waktu tempatan.
Seramai 11 lagi penduduk Palestin turut cedera ditembak semasa cuba pulang ke rumah masing-masing di utara Gaza.
Sejumlah besar penduduk Palestin yang berpindah mencari perlindungan di tempat selamat sejak konflik bermula 7 Okt lepas cuba pulang ke rumah masing-masing di seluruh Gaza sepanjang tempoh jeda kemanusiaan.
Jeda kemanusiaan selama 4 hari yang ditaja Qatar itu tertakluk kepada lanjutan, termasuk pembebasan seramai 150 tahanan wanita dan kanak-kanak dari penjara Israel.
Ia juga melibatkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan bekalan bahan api yang sangat diperlukan ke wilayah yang dikepung.
Bagaimanapun Israel mendakwa wilayah utara Gaza merupakan kawasan larangan dan penduduk Palestin tidak dibenarkan berbuat demikian.
Mereka bertindak menggugurkan risalah memaklumkan penduduk yang berlindung di selatan Gaza agar tidak pulang ke rumah mereka di utara Gaza.
Beberapa jam sebelum jeda kemanusiaan dilaksanakan, tentera rejim Israel memperhebat serangan udara mereka di wilayah utara, tengah dan selatan Gaza.
Serangan itu menyasarkan sekolah yang menempatkan orang awam yang kehilangan tempat tinggal, hospital dan rumah mengakibatkan berpuluh-puluh mangsa terkorban.
Sementara itu, seramai 39 tahanan Palestin dibebaskan dari penjara Israel pada Jumaat malam sebagai sebahagian daripada pertukaran untuk sekumpulan tebusan yang ditahan oleh Hamas.
Tahanan itu terdiri daripada 24 wanita dan 15 kanak-kanak selepas didakwa melakukan pelbagai kesalahan, termasuk membaling batu hinggalah cubaan membunuh.
Bas Palang Merah membawa tahanan itu dari penjara Ofer di Tebing Barat yang diduduki ke kawasan perbandaran Beitunia.
Tahanan Palestin dipilih daripada senarai 300 wanita dan bawah umur yang diselia oleh Israel.
Harus diingat, jumlah tahanan Palestin yang dipenjarakan di penjara-penjara Israel telah mencapai 7,500 orang, termasuk 72 wanita dan 250 remaja.
Israel dan Hamas telah mencapai perjanjian untuk menukar 50 tebusan yang ditahan di Gaza manakala 150 tahanan Palestin di penjara Israel dibebaskan untuk melaksanakan jeda kemanusiaan itu.

