AKTIVITI guna tanah di bahagian hulu saliran berkemungkinan antara punca berlakunya banjir puing yang berlaku di Bukit Tinggi, Bentong, kelmarin.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam kenyataan berkata, aktiviti itu menyumbang kepada kadar hakisan tanah yang tinggi.
Menurut kementerian itu, ia berlaku menerusi aktiviti pembukaan tanah untuk pertanian dan penggunaan sistem saliran tanaman yang tidak sesuai berdasarkan kepada bentuk dan kecerunan.
NRECC memaklumkan, semakan dan tinjauan awal Pejabat Hutan Daerah Bentong menggunakan dron mendapati satu runtuhan tanah dalam Hutan Simpan Bukit Tinggi di tepi anak Sungai Tanglir.
“Kawasan sekitar anak Sungai Tanglir pernah diteroka secara haram untuk aktiviti pertanian seluas lima ekar sebelum ini tetapi telah ditambil tindakan penguatkuasaan pada bulan Mac 2023.
“Kawasan tersebut telah dibuat penanaman semula pokok dan pada masa ini, semakan semula sedang dibuat untuk mengesan sekiranya terdapat kawasan baharu yang diteroka berhampiran kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 8 malam pada Sabtu, hujan lebat selama tiga jam dengan keamatan sederhana antara 23.5 milimeter (mm) hingga 53mm mengakibatkan banjir puing dengan beberapa rumah, premis perniagaan dan jalan raya dinaiki air pada purata kedalaman kawasan 0.3 meter (m) hingga 0.6m.
Baca artikel lain: Banjir Bukit Tinggi: Pengusaha rumah inap, pengunjung diminta berwaspada
Mengulas lanjut, NRECC memaklumkan hujan lebat juga telah menyebabkan hakisan dan ketidakstabilan di bahagian hulu saliran.
Jelasnya, perkara itu telah menyumbang kepada kejadian kepala air yang membawa batu-batu dan enapan hingga menyebabkan lintasan jalan yang dibina tersumbat dan aliran Sungai Tanglir melimpah ke jalan.
Kementerian itu berkata, kerja-kerja penyelenggaraan sungai serta pembersihan sisa batuan dan enapan di kawasan bencana dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) susulan daripada kejadian banjir puing itu.
NRECC memberitahu, tindakan segera itu dijangka mengambil masa lebih kurang satu bulan kerana melibatkan pengalihan batuan besar dan semua enapan di dalam aliran sungai.
Sebagai tindakan segera, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) juga akan mengenal pasti serta menandakan Zon Bahaya serta Zon Kawalan di tapak kejadian.
“Ia bertujuan membantu agensi responder serta agensi-agensi pelaksana dalam menjalankan mitigasi cerun, mengenal pasti elemen berisiko serta ancaman berlakunya runtuhan susulan.
“Pihak JMG juga akan menjalankan pemetaan tapak bagi menandakan cerun-cerun yang telah runtuh dan berpotensi runtuh berdasarkan tanda-tanda ketidakstabilan serta mengenal pasti faktor-faktor yang mungkin menyumbang kepada kejadian aliran puing tersebut,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

